PETALING JAYA: Rakyat mesti berhenti menormalisasikan penderaan fizikal sebagai cara pematuhan tingkah laku tidak kira pada sesiapa pun, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Hannah berkata, beliau membaca komen mengenai insiden jurulatih skuad bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun yang menampar pemainnya dan ramai warganet berpendapat adalah salah menampar remaja perempuan.
“Menampar remaja lelaki juga salah, malah menampar sesiapa pun salah.
“Salah apabila dilakukan terhadap kanak-kanak, atlet, pasangan atau pembantu rumah,” katanya di Twitter.
Semalam, video memaparkan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan.
Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam kenyataan semalam juga berkata, jurulatih itu digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti kebangsaan.
Mava mengesahkan kejadian berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor, 14 hingga 16 Dis lalu.
— EDITOR
Add Comment