Home » Cadangan buka Bank Rakyat di Pitas sangat mustahak
Berita Tempatan Politik

Cadangan buka Bank Rakyat di Pitas sangat mustahak

Ewon (tiga dari kiri) dan Verdon (dua kiri) bersama pegawai-pegawai Parlimen Kudat bergambar bersama selepas pertemuan itu.

KOTA KINABALU: Cadangan untuk membuka cawangan Bank Rakyat di daerah Pitas disifatkan sebagai satu keperluan mustahak bagi memudahkan penduduk di daerah berkenaan.


Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda membincangkan mengenai cadangan itu bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick di sini semalam.


Menurutnya, keperluan pembukaan bank sangat mustahak kerana pekan Pitas tidak mempunyai sebarang perkhidmatan bank sehingga hari ini.


Katanya, sekali gus menyukarkan penduduk di daerah itu yang terpaksa berurusan di pekan Kota Marudu untuk mendapatkan perkhidmatan bank.


Dalam pada itu, Ewon menyatakan kesediaan mempertimbangkan keperluan berkenaan dengan mengambil kira ketersediaan bangunan yang bersesuaian untuk digunakan dan juga capaian perkhidmatan oleh Bank Rakyat.


Dalam pertemuan itu, Ewon mengulangi komitmennya agar kementerian dan agensi-agensi kementerian memberi fokus tambahan kepada pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil terutamanya di daerah-daerah luar bandar di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.

— Siti Aisyah Narudin