Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya berkata, beliau tidak menyokong tindakan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Beliau juga bersedia untuk dikenakan sebarang tindakan oleh parti.
Menurutnya, siasatan yang dibuatnya menunjukkan rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang kerana sekarang bukan masa untuk bermain politik.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan adalah antara Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang tidak hadir semasa sidang media Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan kerjasama di antara BN dengan Gabungan rakyat Sabah (GRS) terbatal.
“Saya tidak hadir kerana saya tidak menyokong gerakan yang dibuat oleh Datuk Bung dan juga rakan-rakan kerana saya berpendapat ini bukan masanya yang sesuai untuk kita mentidakstabilkan kerajaan ataupun menukar kerajaan.
“Prestasi Kerajaan GRS-BN dalam dua tahun kebelakangan ini agak baik dan ini terbukti selama dua tahun berturut-turut Kerajaan Negeri mempunyai peningkatan pendapatan daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas.
“Kita juga berjaya menarik pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM33 bilion, jadi kenapa kita hendak melakukan satu pertukaran kerajaan tanpa sebab-sebab yang konkrit,” kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu ketika ditemui di Maktab Sabah, di sini hari ini.
Beliau menegaskan, tindakan yang dibuat oleh Bung mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri tidak stabil.
“Ia juga akan menghindar para pelabur atau mengurangkan keyakinan pihak pelabur untuk datang melabur di negeri ini.
“Saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang kerana sekarang bukan masa untuk bermain politik.
“Sekarang masa untuk bekerja, untuk membangunkan ekonomi, untuk memajukan negeri ini.
“Jadi saya tidak bersetuju, itulah sebab kenapa saya tidak datang (sidang media),” jelasnya.
Apabila ditanya, Shahelmey menegaskan beliau bersedia untuk dikenakan sebarang tindakan oleh parti.
“Itu hak parti dan terpulang kepada parti,” katanya.
Add Comment