Home » Sabah Tanah Airku; Perpaduan Tidak Boleh Dipaksa
Politik Sudut Pandangan

Sabah Tanah Airku; Perpaduan Tidak Boleh Dipaksa

Dalam kes Sabah sekarang, DUN Sabah tidak tergantung, malah YAB Ketua Menteri sedia ada sudah jelas mempunyai lebih daripada jumlah sokongan minima yang diperlukan.

Hasrat menubuhkan sesebuah “kerajaan perpaduan” itu sememangnya baik. Namun ia hanya sesuai menjadi solusi kepada situasi yang bertepatan.

Formula kerajaan perpaduan sebenarnya cuma salah satu cara untuk mencapai kestabilan bagi sesebuah kerajaan.

Tetapi ia bukan satu-satunya pilihan untuk mencipta kestabilan. Bahkan formula ini sendiri tidak semestinya efektif kalau diguna secara semberono.

Jika formula perpaduan ini dipaksa-paksakan dalam satu konteks yang tidak sesuai, kesan negatif boleh tercetus. Ia sebaliknya akan menambah lebih banyak masalah, bukan menambah kukuh kestabilan.

Konsep kerajaan perpaduan hanya relevan apabila tidak ada mana-mana pihak yang mampu mendapat sokongan majoriti. Maksudnya, ia menjadi satu alternatif penyelesaian “jika dan hanya jika” parlimen atau DUN tergantung.

Dalam kes Sabah sekarang, DUN Sabah tidak tergantung, malah YAB Ketua Menteri sedia ada sudah jelas mempunyai lebih daripada jumlah sokongan minima yang diperlukan.

Di kala kumpulan yang ingin menyingkirkan beliau (Warisan, Umno-Bung & PKDM) dilihat cuba ‘sabotaj’ Sidang DUN yang diadakan pada hari ini (10 Januari 2023) dengan ‘pengarahan’ agar ADUN-ADUN mereka tidak hadir, seramai 44 ADUN (dari keseluruhan 79) hadir dan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan.

Kehadiran dan sokongan 44 ADUN ini adalah susulan kepada sokongan terbuka mereka kepada YAB DSP Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua menteri, bukan sekali tetapi telah berkali-kali. Bukan sekadar melalui SD, tetapi secara terbuka.

Jadi kerajaan sedia ada pimpinan Hajiji bukan sahaja boleh terus berfungsi, malah telah diabsahkan dengan sokongan majoriti 44 ADUN, tanpa perlu dirumitkan oleh tuntutan formula perpaduan yang kompleks. Yang mana perlu memenuhi bermacam syarat dan menyatukan kehendak pelbagai pihak. Jika cara yang mudah boleh diguna, kenapa mahu bersusah-susah?

Dari satu sudut lain juga, nilai dan etos “perpaduan” itu mesti dihormati jika benar-benar mahu menubuhkan kerajaan perpaduan. Kita tidak mahu cuma ghairah menenggek atas nama “perpaduan” semata-mata, tetapi tidak pun disertai semangat sepadu yang betul-betul telus dan benar.

Di mulut menyebut bersetuju dengan kerajaan perpaduan, tetapi ‘mensabotaj’ Sidang DUN yang amat penting melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang Kawal Selia Gas adalah sikap yang amat tidak bertanggungjawab dan menzahirkan ketidakikhlasan untuk berpadu.

Sekiranya RUU-RUU tersebut tidak dapat diluluskan hari ini, bermakna Sabah tidak mempunyai agensi kawal selia gas untuk tempoh tertentu setelah Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa tersebut melalui pewartaan yang telah dibuat baru-baru ini.

Tarikh pembentangan RUU pada 10 Januari 2023 adalah amat kritikal kerana hari ini adalah hari terakhir kuasa kawal selia berada di tangan agensi persekutuan. Jika tidak diluluskan hari ini, bermakna bermula esok tidak ada agensi bertanggungjawab untuk mengawal selia gas di Sabah.

Lebih mendukacitakan bila menyedari RUU ini adalah berkaitan dengan tuntutan MA63 yang Sabah perjuangkan selama ini. Bila Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju memenuhi tuntutan, pemimpin Sabah sendiri yang bersikap sambil lewa tidak hadir Sidang DUN dengan sengajanya atas pertimbangan politik sempit.

Pada masa yang sama, kepercayaan yang dikhianati dan setiakawan yang dibelakangkan adalah seperti gelas kaca yang pecah.

Secermat mana pun kita cuba mencantumnya semula, bekas dan garisan retak tetap tidak hilang. Ia seperti parut luka yang selamanya akan mengingatkan kita pada memori yang pedih dan menyakitkan.

Membina kerajaan perpaduan daripada sisa-sisa kepercayaan yang sudah retak dan pecah sudah pasti akan dipenuhi prasangka dan dendam.

Sebuah kerajaan tidak mungkin mampu berfungsi dengan baik, sekiranya wujud sengketa dalaman yang tersembunyi. Jadi kita perlu realistik untuk mengakui bahawa ada ketika berasing itu lebih baik daripada bersama.

Dalam episod kemelut dan krisis baru-baru ini, banyak hati yang terluka. Luka hanya akan sembuh jika kita berhenti menyentuhnya.

Tetapi jika luka itu sengaja kita terus dedahkan lagi, tanpa menutup dan melindunginya dengan alas sepatutnya — bagaimana ia akan sembuh?

Jadi formula terbaik untuk “move forward” adalah untuk mengizinkan kedua-dua pihak melalui proses healing dan penyembuhan dalam domain masing-masing.

Ini boleh mengelakkan luka yang sedang sembuh itu daripada terus tersentuh atau disentuh, secara sengaja mahu pun tidak.

Maka, pihak yang berusaha merobohkan kerajaan negeri dari pintu belakang, terimalah kegagalan dengan redha. Berdirilah atas prinsip; sudah menzahirkan pendirian tidak percaya kepada Hajiji, maka redhalah untuk berada di blok pembangkang.

Jangan menggunakan Putrajaya untuk menebus kegagalan anda, dengan memaksa orang lain menerima anda melalui kesucian matlamat kerajaan perpaduan. Hakikatnya, kerajaan negeri tetap boleh berfungsi tanpa anda-anda sekalian menjadi jemaah menterinya.

Jangan gadaikan maruah Sabah dengan membawa campur tangan Putrajaya dalam memutuskan pentadbiran kerajaan negeri; biarkan Sabahan dan ADUN-ADUN yang dipilih rakyat untuk menentukannya. Jangan paksa orang lain menerima anda, peliharalah maruah diri dan maruah negeri.

*Sabah United merupakan pemerhati politik Sabah. Tulisan ini adalah pandangan beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment