Home » Jurulatih tampar pemain hilang kelayakan – Hannah
Berita Dalam Negara Sukan

Jurulatih tampar pemain hilang kelayakan – Hannah

Hannah Yeoh (hadapan kiri) berkata, KBS dan KPM berpendirian senada selepas Persatuan Bola Tampar Malaysia yang sebelum membatalkan lesen jurulatih itu melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya. – Foto KPM

PUTRAJAYA: Jurulatih bola tampar yang terbabit dalam kontroversi menampar dua pemain yang tular dalam media sosial baru-baru ini, hilang kelayakan daripada menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk di peringkat sekolah.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkara itu diputuskan secara sebulat suara Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) selepas siasatan penuh dijalankan.

Ujarnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian senada selepas Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sebelum ini membatalkan lesen jurulatih itu melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya.

“Justeru sebagai langkah awal, jurulatih sukan tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk menjadi jurulatih untuk murid sekolah.

“Sesungguhnya, insiden ini telah membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah untuk menjadi sebahagian daripada Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK),” katanya dalam sidang media bersama dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sini pada Khamis.

Justeru Hannah berkata, KPM akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara bagi melengkapkan jurulatih kepada pelajar sekolah dengan pensijilan yang diperlukan.

Menurutnya, ia adalah penting untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat, saling hormat-menghormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan dan penderaan.

Beliau menambah, KBS turut mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan, Institut Sukan Negara memastikan perlaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan yang diperolehi oleh mereka sebagai pengiktirafan SPKK setiap dua tahun sekali.

“Proses itu diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih-jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka itu.

“Penguatkuasaan peraturan tersebut juga membolehkan pihak AKK dan pemegang taruh yang lain mengemas kini data selain turut dapat membantu jurulatih-jurulatih meningkatkan lagi kemahiran mereka melaluiupskilling dan reskilling dengan pendekatan kejurulatihan dan teknologi terkini,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa KBS dan KPM tidak akan berkompromi khususnya berkaitan isu itu, yang mana akan memudaratkan pembangunan bakat masa depan negara, apatah lagi insiden yang melibatkan pelajar sekolah.

Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar dua pemain remaja perempuan selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment