Home » Keperluan Pan Borneo antara fokus Shahelmey dalam KKR
Berita Tempatan Politik

Keperluan Pan Borneo antara fokus Shahelmey dalam KKR

MULA TUGAS: Shahelmey (kanan) mendaftar masuk sempena memulakan tugas baharu di Kementerian Kerja Raya.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo antara perkara yang diberi tumpuan kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya sebaik memulakan tugas di kementerian berkenaan.


Selepas mendengar taklimat daripada jabatan dan agensi berkaitan Kementerian Kerja Raya (KKR), beliau mahu sistem penyampaian sedia ada dapat dipertingkatkan agar pelaksanaan projek di bawah kementerian berjalan mengikut jadual dan kos yang dipersetujui.


Katanya, setakat ini, sebanyak 15 pakej di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah sedang berjalan dengan pencapaian prestasi sekitar 73 peratus siap dan boleh digunakan.


Menurutnya, ia melibatkan pakej lima dan 27 di kawasan Sandakan dan Kinabatangan manakala beberapa pakej lagi dijangka siap awal tahun depan dan selebihnya penghujung 2024.


Beliau berkata, satu lagi pakej iaitu pakej sembilan masih dalam proses pemberian atau pelantikan kontraktor.


“Sehubungan itu, kita berharap akan membuat susulan dengan kerajaan Persekutuan agar baki pakej projek ini dapat dilaksanakan segera,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat sempena memulakan tugas di KKR di sini hari ini.


Selain itu, Shahelmey turut menumpukan keperluan untuk KKR menangani kekangan berkaitan dengan sumber manusia di beberapa jabatan dalam kementerian khususnya melibatkan jurutera dan teknikal.


“Saya akan berbincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan ini,” katanya.


“Ini disebabkan oleh kerja penyelenggaraan berkala di Loji Air Moyog Penampang dan biarpun sudah siap, ia mengambil sedikit masa untuk tekanan air pulih kembali ke tahap sebelumnya,” jelasnya.


Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik.

— Siti Aisyah Narudin