PETALING JAYA: Malaysia mengutuk keras demonstrasi membakar al-Quran oleh ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap ahli politik tersebut.
Pada masa yang sama Anwar turut mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan drastik menangani kebangkitan Islamofobia di sana.
“Penghinaan terhadap kitab suci Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamofobia.
“…dan merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja Turki tetapi lebih daripada dua billion umat Islam di dunia,” katanya di Facebook.
Anwar berkata, Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, penglibatan dan saling hormat-menghormati dalam penyelesaian pertikaian.
Katanya, Malaysia turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak umpan perkauman atau agama dengan bertopengkan kebebasan bersuara dan kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan untuk kebencian dan keganasan.
Pada masa yang sama, kerajaan turut mengecam jenayah kebencian yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia selain daripada perbuatan yang menyemarakkan api perkauman.
Semalam, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
— EDITOR
Add Comment