Home » Isu ‘sedekah’ pengundi: PAS pertahan Hadi, bidas Zahid
Berita Dalam Negara Politik

Isu ‘sedekah’ pengundi: PAS pertahan Hadi, bidas Zahid

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khiruddin, mendakwa Umno tidak ada keabsahan moral mengulas kenyataan ‘sedekah’ Abdul Hadi Awang

PETALING JAYA: PAS pusat mendakwa Umno mahupun presidennya tidak mempunyai ‘keabsahan moral’ untuk mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi Awang berhubung isu ‘sedekah’ untuk pengundi pada PRU15.

Ketua penerangannya, Khairil Nizam Khiruddin, berkata berbanding PAS yang tidak pernah mengamalkan politik wang dan memberi sogokan kepada pengundi, Umno didakwanya terkenal dengan amalan itu.

Kenyataan Media PAS


“Adalah ditegaskan PAS tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi, berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya.


“…dan tiada keabsahan moral membangkitkan perkara ini,” katanya dalam kenyataan.


Khairil ketika mengulas lanjut, kenyataan Ahmad Zahid Hamidi yang mengulas dakwaan sogokan di tiga Parlimen Terengganu pada PRU15 dilihat bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar dibuat Hadi.


Katanya, kenyataan Zahid “kalau dia (PAS) buat, sedekah, kalau kita bagi rasuah” tidak selari dengan makna dimaksudkan Hadi, yang merujuk orang awam atau individu ingin memberikan sedekah terpulang kepada mereka sendiri.


Beliau juga memetik sambungan kenyataan Hadi: “Adapun sumbangan orang tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau PAS sebagai sebuah parti yang bertanding.”


Sabtu lalu, Hadi mempertahankan pemberian wang menerusi bantuan diberikan kerajaan Terengganu beberapa hari sebelum PRU15.


“Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi. Jadi, orang awam nak bagi sedekah terpulang pada dia lah,” katanya.


Hadi mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon tindakan Umno Terengganu memfailkan petisyen membantah kemenangan di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana didakwa terdapat unsur rasuah.


Pada 16 Jan, Ketua Umno Terengganu Ahmad Said, berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, pada 3 Jan dengan mendakwa wang sogokan diberikan diberikan pada 15, 16 dan 17 Nov, iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15 dengan kebanyakan isi rumah menerima RM500 hingga RM1,000.


Katanya, hampir 20 saksi dari tiga Parlimen berkenaan, kebanyakannya dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 21 tahun bersetuju membuat pengakuan di mahkamah bahawa mereka menerima rasuah itu.

EDITOR

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment