Home » Bantu peniaga jual pada harga murah, Ismail tak setuju nasihat boikot
Berita Dalam Negara Politik

Bantu peniaga jual pada harga murah, Ismail tak setuju nasihat boikot

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan juga mesti membantu peniaga menjual makanan pada harga murah, dan membantu rakyat mendapatkan harga berpatutan.

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob menegur nasihat meminta pengguna mengelak mengunjungi kedai yang menawarkan harga makanan tinggi, meskipun harga bahan mentah dikatakan mengalami penurunan.

Bekas perdana menteri itu berkata nasihat sebegitu tidak membantu rakyat dan menyusahkan peniaga.


Katanya, selain memastikan harga bahan mentah menurun, kerajaan juga wajar membantu peniaga menjual makanan pada harga murah, dan membantu rakyat mendapatkan harga berpatutan.


“Boikot peniaga pasti menyusahkan dan tak membantu mereka,” kata Ismail, selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA.

Beliau menyarankan kerajaan meneliti sebab di sebalik kenaikan harga makanan, dan bertindak segera atas aduan pengguna dan peniaga.


“Kerajaan patut fikir soal ini. Bukan (beri) kenyataan-kenyataan begitu mudah dan hukum pula peniaga.”


“Banyak perkara diadu rakyat perlu diambil tindakan segera.”


Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.


Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.


“Pengguna perlu bertindak balas dengan lebih cepat terhadap perubahan harga. Itu cara terbaik untuk kita mempengaruhi keputusan peniaga terutamanya di restoran,” katanya.

EDITOR

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment