BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendengar pandangan bekas perdana menteri Ismail Sabri yang menegur nasihat meminta pengguna mengelak mengunjungi kedai yang menawarkan harga makanan tinggi.
Menurut Anwar, pentadbirannya beri tumpuan kepada memastikan pengeluaran bahan mentah cukup, dengan memberikan sokongan kepada pengeluar dalaman.
“Baik telur, ayam, dan sayur-sayuran. Itu yang kita beri tumpuan,” katanya kepada pemberita di satu majlis di Cherok Tok Kun.
Ismail menyifatkan nasihat meminta pengguna mengelak kedai yang menawarkan harga makanan tinggi, meskipun harga bahan mentah dikatakan mengalami penurunan, sebagai tidak membantu rakyat dan menyusahkan peniaga.
Katanya, kerajaan wajar membantu peniaga menjual makanan pada harga murah, dan membantu rakyat mendapatkan harga berpatutan, selain memastikan harga bahan mentah menurun.
Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli, menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.
Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.
Pakar ekonomi menyifatkan pandangan Rafizi bahawa restoran harus menurunkan harga sejajar kejatuhan harga kos bahan mentah “tidak tepat”.
Sementara itu, Anwar berkata jika dibandingkan kerja menteri sekarang dengan terdahulu, “kita boleh akui bahawa apa yang dilakukan sekarang ini lebih bersungguh-sungguh”.
— Dineskumar Ragu