Home » 326 PEMANAH TRADISIONAL SELURUH SABAH SERTAI KEJOHANAN LIGA MEMANAH TRADISIONAL PERINGKAT NEGERI
Berita Tempatan Sukan

326 PEMANAH TRADISIONAL SELURUH SABAH SERTAI KEJOHANAN LIGA MEMANAH TRADISIONAL PERINGKAT NEGERI

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 326 orang pemanah tradisional dari seluruh Sabah dengan pecahan 214 Lelaki dan 112 Wanita telah menyertai Kejohanan Liga Memanah Tradisional Peringkat Negeri Sabah bertempat di Lapangan Memanah Likas yang berlangsung selama dua hari bermula 21 sehingga 22 Januari lepas.

Kejohanan terbabit yang disertai sebanyak 41 buah kelab memanah tradisional seluruh negeri termasuk peserta persendirian itu telah menampilkan keseluruhan peserta terpilih dari Zon Pantai Barat dan Zon Pantai Timur di Sabah.

Presiden Kelab Memanah Tradisional Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) merangkap Pengerusi Penganjur Kejohanan Liga Memanah Tradisional Peringkat Negeri Sabah, Md Suhaimi Sapiee berkata kejohanan terbabit adalah proses bagi memilih wakil rasmi negeri untuk menyertai kejohanan memanah tradisional peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada Mei depan.

“Bagi penghantaran wakil rasmi negeri, kita akan memilih seramai 20 orang wakil rasmi lelaki dan 15 orang wakil rasmi wanita.

“Format kejohanan yang dipertandingkan adalah mengikut format Liga Memanah Tradisional Kebangsaan (LMTK) dimana ia merupakan kategori panahan jarak berperingkat dari jarak jauh sehingga dekat (descending shooting).

“Bagi peserta lelaki, jarak yang dipertandingkan adalah jarak 60 meter, 50 meter, 40 meter dan 30 meter. Manakala bagi peserta wanita pula, jarak yang dipertandingkan adalah jarak 50 meter, 40 meter, 30 meter dan 20 meter.

Selain itu, tempoh masa panahan juga berubah mengikut jarak iaitu 140 saat, 120 saat, 100 saat dan 80 saat dengan empat pusingan panahan. Di setiap pusingan, pemuka sasaran juga akan berubah pada arah jam tiga, jam enam dan jam sembilan.

“Manakala jumlah anak panah mula yang digunakan adalah sebanyak 12 batang anak panah bebas.” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Disamping itu, Suhaimi turut menambah format yang dipertandingkan ini agak mencabar bagi menguji ketepatan dan kepantasan pemanah serta juga ketahanan mental dan fizikal pemanah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Jakaria Dasan selaku perasmi kejohanan terbabit ketika dalam ucapannya berkata walaupun sukan memanah tradisional disifatkan masih agak baharu di Malaysia khususnya Sabah namun ia berpotensi menjadi antara sukan paling popular.

Disamping itu, beliau turut menyifatkan sukan memanah harus dilihat dan dibangunkan dari sudut kerjasama sebuah pasukan.

“Tanpa kerjasama (teamwork), kita tidak akan berjaya. Kita juga kena sasarkan apakah matlamat kita. Kalau tidak ada sasaran, tidak ada tujuan (goal),” katanya.

About the author

admin

Add Comment

Click here to post a comment