LAWAT: Masiung (tengah) ketika melawat tapak projek Pekan Baharu Tongod.
TONGOD: Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan Pekan Baharu Tongod dan bakal menjadi mercu tanda bagi daerah ini sekiranya projek pembangunan itu siap kelak.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, sebanyak RM6 juta diperuntukan untuk membina 12 unit kedai bertingkat di atas tanah seluas 6.24 ekar.
Katanya, bagi fasa pertama sebanyak enam unit akan dilaksanakan pada awal tahun ini sebaik sahaja juru perunding memperolehi kelulusan daripada Majlis Daerah Tongod.
“Pelan cadangan projek komersial itu sudah siap sepenuhnya dan kita telah mendapat tempahan awal daripada beberapa syarikat pasaraya termasuk restoran makanan segera,” katanya ketika melawat tapak Projek Pekan Baharu Tongod, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Kuamut yakin daerah Tongod mampu menjana lebih banyak program pembangunan dalam tempoh lima tahun ke hadapan.
“Ia disebabkan daerah ini terletak dibawah program koridor pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.
Menurutnya, sebaik sahaja projek komersial itu didirikan, akan menyusul satu lagi projek perumahan kos rendah melibatkan 50 unit yang terletak bersebelahan bangunan kedai bertingkat tersebut.
“Perumahan kos rendah itu kelak akan dibina secara berfasa dan dijual kepada orang awam yang berkelayakan dengan harga dibawah RM50,000.
Turut hadir, Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping; Pengurus Bahagian Komersial, Della Sindul dan pegawai-pegawai kanan LPPB.
— Hamzah Sanudin
Add Comment