Home » Kerajaan negeri optimis bangunkan Kalabakan
Berita Tempatan

Kerajaan negeri optimis bangunkan Kalabakan

RASMI: Samad memotong kek simbolik perasmian majlis tersebut.

TAWAU: Kerajaan negeri optimis untuk membuat persiapan termasuk membangunkan daerah Kalabakan seiring dengan perkembangan terkini yang berlaku di sempadan negara Kalimantan Indonesia.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri berkata kerajaan negeri menyambut baik peruntukan RM1 bilion bagi naik taraf prasarana sempadan Sabah dan Sarawak yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu.  

Katanya, peruntukan itu termasuklah membina prasarana kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Kalabakan.

“Dengan wujudnya CIQS ini, sudah pasti memberikan ruang kepada daerah ini terus membangun bersama daerah lain.

“Daerah ini dilihat berpotensi dan penting bagi kerajaan negeri untuk dibangunkan kerana mengambil kira bersempadan dengan ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Ulang Tahun Ke-4 Pejabat Daerah Kalabakan, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, Kalabakan perlu diwujudkan pelbagai kemudahan dan fasiliti lengkap seperti yang diinginkan oleh masyarakat di sini.

“Bagaimanapun, ia sudah pasti memerlukan masa dan peruntukan pembangunan yang besar bagi memastikan pelbagai kemudahan dapat disediakan.

“Hasrat kerajaan negeri juga mahu memastikan daerah ini terus maju dan membangun seperti di daerah lain,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Daerah Kalabakan, Muhammad Haji Mohd Ali berkata, kerajaan negeri sangat mengambil berat soal pembangunan di seluruh negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, Pejabat Daerah Kalabakan baru berusia empat tahun dan masih banyak lagi cabaran yang terpaksa ditempuhi khususnya bagi membangunkan daerah ini.

“Ketika ini, kita baharu dalam pembangunan fasa pertama dan saya yakin kerajaan negeri akan menyalurkan lebih banyak peruntukan pada masa akan datang.

“Saya optimis Kalabakan akan terus maju bukan sahaja kerana ia bersempadan dengan ibu kota Indonesia, tetapi sebagai pusat pertanian, perladangan, pelancongan dan pendidikan,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment