LEMAS: Lokasi kejadian yang mengorbankan dua beradik.
PAPAR: Dua beradik ditemukan lemas semasa mandi di anak sungai di Jalan Beringis – Kawang, di sini.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata hasil siasatan mendapati kanak-kanak lelaki masing-masing berumur 12 dan 13 tahun itu mengikuti ibu dan neneknya untuk mencari lokan di tepi jalan terbabit.
“Dua beradik lelaki itu kemudiannya mandi di anak sungai yang ada di kawasan berkenaan sementara menunggu ibu dan neneknya mencari lokan.
“Kedua-dua mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang itu kemudiannya disedari lemas oleh ibu dan neneknya sebelum meminta bantuan orang awam,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dari anak sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bantuan penduduk kampung.
Kamaruddin berkata, kedua-dua mangsa seterusnya dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Setakat ini tidak terdapat sebarang unsur-unsur jenayah dengan kematian kedua-dua mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Add Comment