RAMPAS: Polis merampas kabel dipercayai dicuri yang tercampak keluar dari van selepas kemalangan.
KOTA KINABALU: Kegiatan mencuri kabel elektrik dibongkar dalam kemalangan membabitkan van dan sedan di lampu isyarat, Jalan Istiadat Bukit Bendera Likas di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian jam 1.48 tengah hari berlaku apabila kereta sedan dipandu seorang individu berumur lingkungan 50 tahun dari arah Likas menuju ke Kota Kinabalu melalui Jalan Istiadat.
“Semasa memandu di lorong kanan dan tiba di lampu isyarat Jalan Istiadat Bukit Bendera, kenderaan terbabit meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.
“Secara tiba-tiba sebuah van dari lorong kiri iaitu arah Jalan Bukit Bendera dalam keadaan laju meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar kereta sedan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kejadian menyebabkan pemandu sedan mengalami kecederaan ringan manakala tiga lelaki yang berada di dalam van berkenaan dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.
Katanya hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan kabel elektrik yang tercampak keluar daripada van berkenaan.
“Pemeriksaan di dalam van itu turut menemukan beberapa gulung kabel dipercayai dicuri selain peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.
“Polis sedang menjalankan siasatan mengesan ketiga-tiga lelaki terbabit dan pemilik sebenar van berkenaan,” katanya.
Sementara itu katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
Add Comment