Home » Penganjuran program berteras kebudayaan perlu diperluaskan sebagai daya tarikan pelancong– Joniston
Berita Tempatan Politik

Penganjuran program berteras kebudayaan perlu diperluaskan sebagai daya tarikan pelancong– Joniston

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, muzik kebudayaan Sabah juga wajar ditonjolkan menerusi penganjuran festival muzik.

KOTA KINABALU : Penganjuran program berteraskan kebudayaan khususnya di negeri ini perlu diperluaskan dan ditonjolkan sebagai salah satu tarikan pelancong untuk berkunjung ke Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, negeri ini amat popular dengan kepelbagaian budaya khususnya makanan, muzik dan sebagainya.

“Pada malam ini (semalam) kita mengadakan Culture Vaganza dimana pihak Kementerian ingin melihat lebih banyak program seumpama ini diadakan kerana kita mempunyai kepelbagaian dari segi budaya termasuk muzik.

“Ini juga yang ingin kita tonjolkan sebagai salah satu tarikan pelancong untuk datang ke Sabah.  Selain muzik, mungkin kita juga boleh mengadakan aktiviti menerusi festival makanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Chinese New Year Vaganza 2023 bersempena dengan Culture Vaganza di Pentas Laman Seni Perkarangan Bangunan Wisma Budaya (LKNS) di sini semalam.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, muzik kebudayaan Sabah juga wajar ditonjolkan menerusi penganjuran festival muzik.

“Jika di Sarawak, mereka ada Sarawak Rainforest Music Festival, mungkin kita di Sabah juga boleh mengadakan program seumpama itu dengan menjemput pemuzik dari negara-negara lain untuk bersama pada penganjuran yang diadakan.

“Saya percaya melalui usaha seperti ini kita akan dapat menonjolkan Sabah di peringkat antarabangsa selain melahirkan bakat-bakat baharu dalam seni muzik,” katanya.

Terdahulu, pada program itu,pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya gerai jualan, pameran, busking, persembahan tarian singa dan pelbagai aktiviti lain. 

— EDITOR