Home » Banjir Johor: 35 terperangkap di tapak perkhemahan di Tanjung Lompat
Berita Am Berita Dalam Negara

Banjir Johor: 35 terperangkap di tapak perkhemahan di Tanjung Lompat

JOHOR BAHRU: Keseronokan berkhemah di sebuah tapak perkhemahan di Daerah Kota Tinggi bertukar detik ngeri apabila kira-kira 35 orang terperangkap di Tanjung Lompat, susulan banjir, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penawar Masri Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 petang.

Susulan itu, sebuah jentera FRT dan sebuah Hilux bersama sembilan anggota dikejarkan di tempat kejadian bagi membantu mangsa banjir, kata beliau.

“Tebing saliran yang menjadi laluan utama keluar masuk ke tapak perkhemahan berkenaan runtuh akibat banjir sehingga menyebabkan aliran itu menjadi selebar 20 kaki (6.1 meter) sekali gus menutup laluan berkenaan menyukarkan kenderaan untuk keluar dari situ.

Pihak bomba kemudiannya membuka laluan alternatif berdekatan di sebuah hotel supaya kenderaan yang terperangkap boleh menggunakan jalan pantai untuk keluar jalan besar,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Masri berkata mangsa yang terdiri seramai 12 lelaki, 11 wanita, tujuh kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan kemudiannya dinasihati berkemas dan pulang ke kediaman masing-masing.

Beliau berkata sebanyak 16 kenderaan yang terperangkap pada mulanya berjaya menggunakan laluan alternatif berkenaan.

Operasi tamat sepenuhnya pada 7.50 malam ini.

— BERNAMA

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment