Home » Lelaki warga emas hilang berdekatan kolam
Berita Tempatan

Lelaki warga emas hilang berdekatan kolam

SAR: Pasukan Bomba menjalankan SAR di sekitar kawasan kolam.

KENINGAU: Seorang lelaki warga emas berumur 61 tahun dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di kawasan berhampiran sebuah kolam ikan di Bingkor di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas menerima aduan jam 2 petang kelmarin.

Katanya, anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu SAR warga emas berkenaan.

“Pasukan Bomba bersama agensi bantuan PDRM dan APM menjalankan SAR di sekitar kolam berkenaan.

“Pasukan SAR bagaimanapun menerima laporan daripada orang awam yang melihat mangsa membeli barangan runcit di Kampung Bunsit iaitu pada jarak enam kilometer dari lokasi kejadian sekitar jam 7 malam pada 22 Januari lalu,” katanya.

ADVERTISEMENT

Menurutnya selepas perbincangan dengan ahli keluarga mangsa, operasi SAR hari kedua  kemudiannya ditangguh berikutan tidak menemukan sebarang petunjuk.

Tambahnya operasi akan dijalankan kembali sekiranya terdapat petunjuk baharu dari semasa ke semasa.

Sementara itu katanya, adik mangsa mendakwa abangnya itu selalu mengalami kekejangan otot dan sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah.

“Kali terakhir abangnya (mangsa) dilihat pada Jumaat lalu di lokasi terakhir di kolam ikan berkenaan.

“Pekerja kolam ikan menemui baju jaket warna hitam, telefon bimbit, power bank dan gergaji.

“Adiknya bersama pengusaha kolam cuba berusaha mencari di sekitar kolam namun gagal sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan,” katanya.

Difahamkan, mangsa bekerja di kolam ikan berkenaan.

utusanborneo

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment