Home » Sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh MET Malaysia – Armizan
Berita Tempatan Politik

Sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh MET Malaysia – Armizan

Dilaporkan tiga negeri terjejas banjir, 3566 mangsa berada di 38 PPS.

KUALA LUMPUR: Tiga negeri terkesan banjir membabitkan lima daerah di negeri Johor, satu daerah di Pahang dan Sabah kini turut terjejas.

Ini berdasarkan laporan bencana di seluruh negara yang dikeluarkan National Disaster Command Centre (NDCC) NADMA, bagi episod hujan lebat ke 3 bagi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023, sehingga jam 8.00 pagi hari ini ( 25 Jan).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, seramai 3566 orang mangsa daripada 1005 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan berada di 38 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, semua urusan penyelarasan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan lain-lain bantuan untuk KIR yang terkesan banjir akan diuruskan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

“Menurut NDCC episod luruan monsun membawa keadaan cuaca buruk melibatkan antaranya hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora. Sebelum episod luruan ketiga ini, sejak bermulanya MTL 2022/2023 pada awal November 2022, sebanyak dua luruan monsun telah berlaku iaitu pada 7 hingga 12 Disember 2022 dan 17 hingga 26 Disember 2022.

“Diramalkan MTL 2022/2023 akan berlaku sebanyak 4 hingga 6 episod luruan monsun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Armizan mengadakan lawatan di PPS daerah Segamat, Johor hari ini. – Foto ihsan HESSTTK

Dalam pada itu, Armizan turut mengadakan lawatan ke dua PPS di Johor pada hari ini.

“Pada hari ini saya telah berkesempatan melawat dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Segamat, Johor iaitu PPS Seberang Batu dan PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek.

“Kedua-dua PPS ini telah diaktifkan pada 24 Januari 2023. Setakat ini, daerah Segamat di Johor adalah kawasan yang paling teruk terjejas dengan merekodkan sebanyak 1,392 mangsa daripada 393 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

“Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir di Johor melibatkan 5 daerah iaitu
Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Batu Pahat dengan jumlah keseluruhan seramai 3,482 mangsa daripada 984 keluarga yang berada di 35 PPS,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, pada 24 Januari 2023, pukul 7.45 malam, NADMA telah menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung Amaran Bahaya yang telah dikeluarkan berhubung bacaan aras air semasa di Segamat, Johor iaitu di 3 stesen melibatkan Sungai Gemas, Sungai Lenik dan Sungai Segamat.

“Sejak bermulanya MTL 2022/2023 pada November 2022 sehingga 25 Januari 2023, seramai 121,594 mangsa daripada 34,357 keluarga telah dipindahkan ke 444 PPS yang
melibatkan bencana banjir dan air pasang besar.

“Saya ingin memberi peringatan kepada semua rakyat supaya sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh MET Malaysia. Mereka yang terkesan dengan banjir dinasihatkan untuk menjaga keselamatan dan tidak bertangguh untuk berpindah ke PPS
sekiranya menerima arahan daripada pihak berwajib bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” tegas Armizan.

Pada masa yang sama, katanya, NADMA juga telah diarahkan supaya memastikan ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah yang terlibat untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa beroperasi 24 jam sehari untuk memantau dan membuat penyelarasan bersama semua agensi dan pihak yang terlibat dengan pengurusan bencana,” tambahnya.

— EDITOR

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment