Home » Program Menu Rahmah diperluas ke IPTA selepas Aidilfitri
Berita Dalam Negara Politik

Program Menu Rahmah diperluas ke IPTA selepas Aidilfitri

Salahuddin Ayub (tiga dari kanan) menunjukkan Menu Rahmah berharga RM5 yang dijual di sebuah bistro di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Program Menu Rahmah dijangka dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas Aidilfitri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.

Pada peringkat awal, katanya, program dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu akan dilaksanakan di 20 IPTA di sekitar Lembah Klang.


Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan Menteri KPT, Mohamed Khaled Nordin.


“Dari segi menyediakan tempat, itu adalah di bawah bidang kuasa KPT dan menu pula adalah di bawah KPDN, jadi dengan kedua-dua kementerian bersetuju untuk menyelaras, saya rasa ia boleh dilaksana selepas segala perancangan dibuat, iaitu selepas Aidilfitri,“ katanya menurut Bernama.


Salahuddin berkata, program itu juga dijangka diperluas ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).


Mengenai rangkaian minuman popular menggunakan nama Menu Rahmah dan adakah ia dianggap manipulasi untuk tujuan promosi, katanya, beliau tidak menganggap ia sebagai manipulasi, sebaliknya semua pihak dialu-alukan menyahut inisiatif kerajaan itu.


Pada masa sama, beliau berkata, satu sesi libat urus akan diadakan dengan rangkaian restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald’s pada minggu depan bagi pelaksanaan Program Menu Rahmah.


“Kami juga akan buat libat urus dengan Persatuan Kedai Makanan Kaum Cina yang turut berminat dan bersedia untuk sertai program ini, jadi kami harap dengan libat urus yang dilakukan, program ini dapat terus diperluas,” katanya.

— FMT