Home » Maklumkan kepada JPKK jika kawasan terjejas banjir: Robert
Berita Tempatan Politik

Maklumkan kepada JPKK jika kawasan terjejas banjir: Robert

Robert menyerahkan sumbangan kebajikan kepada sebahagian mangsa banjir sempena program turun padang itu.

KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik meminta kerjasama daripada penduduk kampung supaya memaklumkan sebarang kejadian banjir yang berlaku di kawasan mereka kepada pemimpin setempat.

Katanya, kejadian seperti banjir boleh dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) masing-masing dan sekiranya paras air banjir semakin meningkat para penduduk disaran berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) terdekat.


Saya menasihati penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai dan lereng bukit supaya sentiasa berjaga-jaga. Berpindahlah lebih awal sekiranya terdapat tanda-tanda awal banjir seperti hujan yang berterusan kerana ia kemungkinan menyebabkan banjir kilat.


Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian semasa mengadakan program turun padang di beberapa kampung dalam kawasan Bingkor.


Sempena program itu, Robert turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa buah kampung ekoran hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.


Hasil tinjauan turun padang yang dilakukan Robert, seramai 19 orang terkesan dengan musibah banjir yang menyebabkan rumah mereka dinaiki air setinggi tiga hingga empat kaki akibat limpahan air sungai.


Antara Kampung yang dilawati beliau dan rombongan adalah Kampung Ranggom iaitu seramai 12 keluarga, Kg Semangkok empat buah keluarga dan Kg Minansut tiga keluarga.
Turut serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bingkor Junior Fred dan beberapa staf Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor.

— Kenneddy Corlleus