KUALA LUMPUR: Dua beradik atlet multidisiplin kebangsaan Teo Zun Jet dan kakaknya Teo Sze Hui, menempah slot ke Sukan SEA Kemboja pada Mei hadapan, selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam kategori masing-masing di kejohanan NeptuneX113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113) semalam.
Pada kejohanan yang berlangsung di Tasik Putrajaya itu, menyaksikan Zun Jet, 17, mengungguli kategori elit lelaki, selepas melengkapkan rutin renang 500 meter (m) dan larian 2.5 kilometer (km) dengan catatan masa 16 minit 12 saat (s), mengatasi pencabar terdekatnya Isaac Tan (16:26s).
Lee Wen Jun (16:33s) dan Brendon Wong Kai (16:43s) masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat kategori terbabit.
Dalam saingan elit wanita pula menyaksikan dua tiket Sukan SEA berjaya direbut Siobhan Doyle (18.30s) dan Sze Hui (19.16s) selepas masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan empat.
Acara itu diungguli atlet Indonesia Renata Berliana dengan catatan 18:09s manakala Ng Wen May melengkapkan kedudukan podium dengan 18:52s.
Wen May tidak tersenarai untuk sukan itu kerana telah disenaraikan Persatuan Triathlon Malaysia (MTA) ke Sukan SEA bagi acara triathlon.
Mengulas mengenai kejuaraan terbabit, Zun Jet yang baru sahaja berkecimpung dalam aquathlon berkata beliau langsung tidak menduga mampu mewakili negara ke Sukan SEA buat kali pertama.
“Saya sebenarnya merupakan perenang dan pemain polo air negeri (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Saya mula berjinak dalam disiplin larian dan berbasikal sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, kerana itulah dua aktiviti yang boleh dilakukan,” katanya merusi kenyataan semalam.
NX113 yang berlangsung semalam merupakan medan buat atlet negara menempah tiket ke Sukan SEA Kemboja, tahun ini.
Aquathlon, yang membabitkan disiplin larian dan renang bakal dipertandingkan buat pertama kali pada temasya dwitahunan itu.
Tiga kategori yang bakal dipertandingkan ialah Standard (berenang 1.5km/berlari 10km), Pecut (berenang 750m/berlari 5km) serta Super Sprint (berenang 500m/berlari 2.5km).
Sementara itu, skuad renang kebangsaan turut beraksi cemerlang apabila merangkul perak dan gangsa dalam acara berpasukan campuran 4×1.5km berganti-ganti, pada Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) di lokasi yang sama.
Skuad yang dibarisi Lim Kai Yi, Teoh Kai Ning, Lynna Yeow dan Hannes Wan dari Malaysia A, muncul naib juara dalam kategori usia 14-16 tahun selepas mencatat 1 jam 19 minit dan 51.3 saat di belakang Thailand A (1:16:35.4s).
Manakala, skuad Malaysia B yang diwakili Aslan Adnan, Grace Yap, Jamie Tan, Yap Rong Yi di tempat ketiga dengan 1:23:04.5s, membolehkan Malaysia mengumpul tujuh pingat perak dan empat gangsa dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari.
— BERNAMA
Add Comment