TAWAU: Kerajaan negeri yakin mampu mengatasi masalah pengemis jalanan di Sabah termasuk kanak-kanak palauh dalam tempoh terdekat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, beberapa pendekatan diambil bagi menangani masalah tersebut.
Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil inisiatif mengurus golongan tersebut termasuklah memberikan perlindungan dan pendidikan kepada mereka.
“Sebagai permulaan, kerajaan negeri akan membina sebuah rumah perlindungan di Kota Kinabalu sebagai tempat belajar kemahiran selama tempoh tiga bulan supaya mereka boleh hidup berdikari.
“Saya yakin masalah pengemis jalanan di ibu kota dapat diselesaikan dalam tempoh masa sebulan dari sekarang,” katanya.
LAWAT: James semasa melawat penghuni di Rumah Warga Tua, Air Panas.Turut hadir, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Sinar Harapan Emas, di Rumah Warga Tua Air Panas, di sini hari ini.
Menurutnya, rumah perlindungan itu juga akan dibina di daerah Tawau dan Sandakan tidak lama lagi supaya masalah pengemis jalanan di negeri ini dapat diatasi sepenuhnya.
“Semua pengemis yang sudah diberikan perlindungan dan diyakini sudah mampu berdikari akan dihantar ke tempat yang boleh mereka bekerja,” katanya.
Sementara itu, beliau juga tidak menafikan kehadiran pengemis jalanan itu didalangi oleh satu sindiket daripada pihak tidak bertanggungjawab.
“Justeru, lokasi rumah perlindungan itu akan dirahsiakan supaya tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas inisiatif tersebut,” katanya.
Turut hadir, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal.
— Hamzah Sanudin
Add Comment