Home » Sabah di landasan tepat dalam Hala Tuju SMJ – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Sabah di landasan tepat dalam Hala Tuju SMJ – Hajiji

Ketika ini, kerajaan negeri fokus untuk memenuhi agenda pembangunan di wilayah kita dan sudah tentu masyarakat di Tawau tidak akan dilupakan.Hajiji berkata demikian sempena Pesta Tahun Baharu Cina Parlimen Tawau, di sini semalam. Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

TAWAU: Kerajaan negeri kini berada dilandasan yang tepat dan mampu meraih kejayaan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah mempunyai sebuah kerajaan yang inklusif serta mampu berfungsi sebagai satu pasukan.


“Kita sudah membentuk pasukan yang boleh berkongsi aspirasi dan dibina atas kepercayaan serta saling menghormati.


“Ketika ini, kerajaan negeri fokus untuk memenuhi agenda pembangunan di wilayah kita dan sudah tentu masyarakat di Tawau tidak akan dilupakan,” katanya.


Beliau berkata demikian sempena Pesta Tahun Baharu Cina Parlimen Tawau, di sini semalam. Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.


Menurutnya, semua warga Sabah khususnya masyarakat Tiong Hua diminta supaya bersama-sama menjaga keamanan dan kemakmuran wilayah ini.


Hajiji berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan dalam memastikan keamanan dan kemakmuran wilayah ini sentiasa terjaga.


Berbicara soal sambutan tersebut, Hajiji berkata, hakikatnya inilah keunikan Malaysia khususnya Sabah yang hidup dalam kepelbagaian masyarakat.


“Kita boleh meraikan semua perayaan seperti Tahun Baharu Cina dengan penuh rasa muhibah dan meriah.


“Kita seharusnya menjadikan perbezaan ini sebagai satu kelebihan dan keistimewaan untuk merapatkan bukan untuk memisahkan,” katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui menzahirkan rasa gembira kerana lebih 3,000 orang hadir dalam majlis tersebut.


“Saya sangat teruja kerana pelbagai kaum, agama dan parti politik hadir dalam majlis ini dan sudah tentunya ia mampu merapatkan lagi hubungan yang sedia terjalin.


“Seharusnya suasana inilah yang harus diraikan oleh semua pihak terutamanya ahli politik bagi membangunkan negeri Sabah khususnya di Tawau,” katanya.


Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang dan Ketua Konsulat Republik Indonesia, Heni Hamidah.

— Hamzah Sanudin

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment