KOTA KINABALU: Masyarakat Cina bukan hanya merayakan Tahun Baru Cina tahun ini tetapi juga turut merayakan perlantikan dua menteri daripada masyarakat Tiong Hua ke dalam kabinet Sabah baru-baru ini.
Ia adalah usaha kerajaan negeri untuk memberi ruang kepada semua supaya kerjasama dan perpaduan dapat dipupuk di antara masyarakat dan parti-parti politik di peringkat negeri dan kerajaan pusat.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian di majlis Perayaan Tahun Baru Cina 2023 anjuran Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat Tionghua StarSabah kelmarin.
Jeffrey berkata, menurut zodiak Cina, Tahun Arnab bererti membawa keamanan, “Jangan lagi ada ketidakstabilan politik, jangan lagi ada kekacauan supaya kita lebih fokus kepada pembangunan.”.
“Tahun arnab juga membawa kemakmuran yang akan mempertingkatkan ekonomi setelah lebih dua tahun menghadapi masalah pandemik Covid-19 yang mana telah menyebabkan ekonomi seluruh dunia terbantut.
“Ekonomi akan terbuka luas dan pelancong-pelancong akan datang ke Sabah. Hotel-hotel, restoran-restoran, rangkaian pengangkutan dan tempat-tempat peranginan akan menjadi aktif semula untuk memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha, peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.”
“Pelabur-pelabur juga akan datang ke Sabah. Setakat ini kita telah menerima pelaburan-pelaburan asing ke Sabah lebih daripada RM30 bilion.”
Beliau berkata walaupun demikian Sabah masih menghadapi banyak cabaran.
Berdasarkan maklumat yang diterima negeri Sabah bukan sahaja negeri yang paling miskin tetapi juga yang paling banyak penyakit dan masalah. Malaysia juga menghadapi cabaran namun kalau melihat kepada pendapatan per kapita, pendapatan per kapita nasional ialah USD12,000 seorang berbanding per kapita GDP Sabah hanya USD6,000 seorang. Ini menunjukkan Sabah jauh ketinggalan.
“Maka itu cabaran untuk memajukan ekonomi melalui potensi-potensi yang ada di negeri ini memang banyak. Kita akan berusaha memastikan kita juga mendapat GDP per kapita USD12,000 seorang di Sabah dalam tempoh sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun ini.
“Ini adalah harapan kita kerana kita mempunyai potensi dan kerajaan sekarang adala pro-business yang kini sudah menjadi kukuh.
Jelasnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun kerajaan perlu aktif dalam usaha membangunkan negeri supaya dapat kongsikan dasar kemakmuran bersama seperti negeri-negeri di Semenanjung.
“Seperti yang telah diumumkan melalui beberapa kenyataan dari kerajaan pusat, kerajaan negeri kini boleh meluluskan pembangunan bernilai RM50 juta ke bawah. Beberapa perubahan melalui MA63 di mana kuasa-kuasa mengenai elektrik dan gas sudah mulai diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
Jeffrey berkata tahun arnab juga bererti umur panjang, “Bukan sahaja kita harap panjang umur tetapi kita juga mengharapkan kerajaan ini adalah kerajaan berumur panjang.”
Beliau akhiri dengan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat Tionghua yang dipengerusikan oleh Kapitan Datuk Stephen Teo.
— G-Admin
Add Comment