PUTATAN: Umat Islam diseru untuk terus membaca selain mengamalkan ajaran yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, Al-Quran mengandungi banyak hikmah yang boleh mendorong kepada kejayaan sekiranya dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Kitab suci ini mesti kita fahami kandungannya kerana mempunyai banyak pengajaran dan hikmah yang mampu membawa kejayaan kepada yang mengamalkannya.
“Begitulah sucinya kitab Al-Quran, jadi janganlah membiarkan kitab ini di dalam almari atau rak-rak buku hanya untuk dijadikan sebagai perhiasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan di sini semalam.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, objektif penganjuran MTQ yang diadakan saban tahun itu adalah untuk menggalakkan budaya pembacaan Al-Quran dalam komuniti, keluarga dan masyarakat Islam.
“Membaca Al-Quran tidak sukar ketika ini, hanya perlu bermula dengan sekurang-kurangnya sepotong surah yang pendek menggunakan telefon pintar masing-masing,” katanya.
Pada majlis tersebut Shahelmey turut menyampaikan hadiah kepada 12 orang peserta dengan johan qari dinobatkan kepada Nashraf Ideen Nahar manakala johan qariah, Dayang Saliah Pengiran Awang Salleh yang akan mewakili daerah Putatan ke pertandingan MTQ Peringkat Pantai Barat Selatan yang akan diadakan pada 16 Februari ini di tempat yang sama.
— EDITOR
Add Comment