KUALA LUMPUR : UMNO menolak formula PAS yang mendukung BERSATU bagi menjayakan penyatuan ummah, memandangkan parti itu ditubuhkan untuk melemahkan UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hakikatnya, UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah, namun yang ditolak UMNO ialah penyelamatan BERSATU.
“Bagi UMNO, formula PAS untuk mendukung BERSATU bukan rumus untuk ummah yang bersatu. BERSATU adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.
“Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui ‘sindiket’ pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kerana itu, beliau berkata, BERSATU tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu, kerana DNA mereka ialah anti UMNO dan karakternya adalah khianat.
“UMNO adalah gerakan politik. Ia bukan gerakan dakwah. Tugas UMNO ialah mengurus dan mentadbir negara,” katanya.
Beliau berkata, penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya kerana UMNO sudah dan akan usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim apabila ia mentadbir nanti.
“Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu. Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.
“Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya supaya ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan.
“Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan BERSATU pastinya. Kerana sudah menjadi cita-cita BERSATU untuk UMNO itu di diakhiri, ditolak dan dimatikan,” katanya.