Site icon Sabah Baru News

Tuduhan ADUN Warisan ‘dibeli’ didakwa fitnah

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan dakwaan pembelian wakil rakyat Parti Warisan (Warisan) yang ditimbulkan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini, sebagai satu fitnah.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tuduhan yang dibuat Ahli Parlimen Semporna itu ketika berbahas di Dewan Rakyat, kelmarin adalah politik murahan yang cuba memalitkan imej negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Hajiji.


“Ucapan Datuk Seri Shafie di Parlimen baru-baru ini yang membuat tuduhan dengan cerita dongeng bahawa wakil rakyatnya keluar parti kerana dibeli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang pemimpin yang hanya suka berpolemik dan menimbulkan ketidakstabilan politik di Sabah.


“Jika Presiden WARISAN itu mempunyai bukti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beliau dibeli sepertimana dakwaannya, maka laporlah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukannya hanya membuat dakwaan retorik kerana kelemahannya sendiri lalu menyalahkan orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan Mohd Shafie ketika berbahas di Dewan Rakyat, kelmarin yang antara lain mendakwa tiga ADUN parti itu yang keluar parti awal bulan ini ‘dibeli’ Hajiji selaku Pengerusi GRS.


“Ini kerana pemimpin utama parti itu lebih gemar menimbulkan polemik dan ketidakstabilan politik yang hanya menyusahkan rakyat serta mengganggu agenda kerajaan membangunkan negeri ini,” katanya.


Nizam berkata, Mohd Shafie perlu bermuhasabah diri bahawa kepemimpinan beliau bukan sahaja ditolak oleh ADUN partinya sendiri, malah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu turut menyaksikan parti itu semakin ditolak rakyat.


Mohd Shafie sebelum ini mendakwa tiga ADUN WARISAN, iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) keluar parti kerana ‘dibeli’ oleh Hajiji.


Berikutan itu, Mohd Shafie mendesak agar undang-undang anti lompat parti diwujudkan segera di Sabah bagi mengatasi tindakan melompat parti yang sering berlaku di negeri ini.


Semalam, Norazlinah menyatakan kesediaannya disiasat SPRM jika Mohd Shafie mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan menerima imbuhan untuk menyokong kerajaan negeri pimpinan Hajiji.


Beliau menjelaskan keputusannya keluar WARISAN dibuat dengan rela hati kerana tidak lagi bersetuju dengan hala tuju parti itu yang tidak konsisten.

— Izwan Abdullah

Exit mobile version