Site icon Sabah Baru News

RAKYAT SABAH SAMBUT BAIK BAJET ULUNG KERAJAAN PERPADUAN, BERHARAP IA RAPATKAN JURANG DENGAN SEMENANJUNG

Rakyat Sabah, seiring dengan pandangan pemimpin-pemimpin negeri, menaruh harapan tinggi Bajet 2023 yang dibentang semalam bakal merapatkan lagi jurang pembangunan antara tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sabah menerima suntikan khas secara terus RM6.5 bilion dari RM388 bilion Bajet 2023, peningkatan lebih 3% berbanding tahun lalu, di samping menerima pelbagai peruntukan lain seperti RM20 bilion melibatkan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo di kedua-dua Sabah dan Sarawak serta penerima terbesar faedah peruntukan RM1.2 bilion bagi menaik taraf beratus klinik dan sekolah di kedua-dua negeri.

Peruntukan RM1 bilion untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan dengan Indonesia termasuk di Kalabakan akan turut memberi impak positif kepada ekonomi Sabah berikutan pembinaan bandar pentadbiran baru Indonesia di Nusantara. Rakyat khususnya di Pedalaman juga menyokong penuh kenyataan YAB Ketua Menteri DSP Hj Hajiji Mohd Noor supaya CIQ yang sama akan turut dipertimbang untuk dibina di Bantul, Pensiangan.

Golongan petani, pekebun getah, belia, wanita, usahawan PMKS dari Sabah bakal turut sama menerima pelbagai kemudahan bantuan, pinjaman mahupun pengurangan cukai, seperti diumumkan. Saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk mengambil peluang-peluang ini, dan PGRS sendiri akan mengambil inisiatif memberi penjelasan kepada rakyat .

Terdapat RM1.7 bilion diperuntukkan untuk pinjaman kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana tahun ini menerusi Tekun, BSN dan Bank Negara. Peniaga Sabah harus ambil peluang ini lebih-lebih ekonomi kini semakin pulih dari tekanan pandemik Covid19 dua tahun kebelakangan ini.

Saya berharap Kerajaan Persekutuan juga akan memperluas bantuan dan peluang kepada Sabah dalam usahanya, termasuk membuka tanah sebagai kawasan pertanian, untuk mempertingkat sumber makanan sekaligus membantu menurunkan kos bahan mentah makanan kita.

Kita bersyukur dan mengucapkan syabas kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyediakan bajet pro-rakyat ini, dan diharap ia landasan kepada bajet-bajet madani yang lebih hebat pada tahun-tahun mendatang. Insyallah.

Ini mungkin satu lagi titik permulaan bagi Sabah melonjakkan lagi pembangunannya mengejar Semenanjung, agar tidak lagi tertinggal di belakang dari segi pembangunan dan kemajuan sejak kita sama-sama membentuk negara Malaysia pada tahun 1963.

Sekian.


YB Datuk Hj Nizam Bin DSP Abu Bakar Titingan
Ketua Penerangan
Parti Gagasan Rakyat Sabah
Kota Kinabalu
25hb Februari, 2023

Exit mobile version