Minggu lalu, pihak Polis melakukan pencarian selama tiga hari mencari mayat sosialit yang hilang di tapak pelupusan sampah di Ta Kwu Ling.- Foto IG Abby Choi
HONG KONG: Mayat manusia yang ditemui di sebuah rumah di perkampungan Tai Po disahkan milik model Hong Kong yang dibunuh, Abby Choi Tin-fung.
Memetik laporan South China Morning Post, ujian DNA turut mengesahkan tengkorak ditemui dalam periuk sup besar serta dua kaki yang ditemui di dalam peti sejuk di flat tingkat bawah rumah tiga tingkat Lung Mei Tsuen adalah mayat sosialit berusia 28 tahun itu.
Menurut pihak polis Hong Kong, namun begitu beberapa bahagian termasuk badan dan tangan Choi masih belum ditemui.
Sumber yang dipetik SCMP turut melaporkan, pegawai skuad jenayah memeriksa kemungkinan anggota badan yang belum ditemui berada di tapak terakhir di mana mayatnya dilupuskan.
Terdahulu, bekas suami model itu, Alex Kwong Kong-chi, bersama bapanya Kwong Kau, ibu Jenny Li Sui-heung dan abang Anthony Kwong Kong-kit didakwa atas tuduhan membunuh Choi dan direman tanpa jaminan.
Dalam masa sama, dua lagi suspek turut ditahan berhubung kes itu. Seorang daripada mereka, lelaki berusia 41 tahun ditahan hari ini kerana membantu pesalah tetapi dibenarkan ikat jamin selepas hadir di mahkamah.
Minggu lalu, pihak polis melakukan pencarian selama tiga hari mencari mayat sosialit yang hilang itu di tapak pelupusan sampah di Ta Kwu Ling.
Ini kerana berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup memperlihatkan seseorang cuba melupuskan bukti termasuk termasuk bahagian badan, pakaian, telefon dan peralatan digunakan untuk membunuh mangsa di tempat pengumpulan sampah itu.
Namun, pihak polis tidak berjaya menemui bukti lanjut selepas melakukan pencarian di kawasan sasaran berkeluasan kira-kira sebesar padang bola sepak.
Kes pembunuhan Choi menarik perhatian media di seluruh dunia selepas mangsa dilaporkan hilang pada 21 Februari lalu dan beberapa bahagian badan termasuk kakinya ditemui pada 24 Februari lalu.
— AWANI
Add Comment