Home » Belanjawan 2023 bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan bangunkan Sabah, Sarawak: Matbali
Berita Tempatan Politik

Belanjawan 2023 bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan bangunkan Sabah, Sarawak: Matbali

Ketika membahas Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat kelmarin, Matbali berkata peruntukan RM6.5 bilion untuk Sabah itu menunjukkan 3.1 peratus lebih banyak berbanding jumlah yang diperuntukkan pada Belanjawan asal 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyifatkan  Belanjawan 2023 sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan membangunkan wilayah Sabah dan Sarawak, setara dengan negeri-negeri di Semenanjung.


Katanya, jumlah peruntukan yang disediakan untuk kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak diharap menjadi realiti dalam rangka membangun negeri.


Dalam Belanjawan 2023, Sabah dan Sarawak masing-masing diperuntukkan RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.


Selain itu, sejumlah RM2.5 bilion lagi diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan projek kemudahan awam seperti jalan raya, lampu jalan, bekalan elektrik dan air.


Kerajaan turut menyedia sejumlah RM20 bilion untuk mempercepatkan pelaksanaan dan penyiapan projek Pan Borneo Sabah-Sarawak Road Link, sejauh 1,000 kilometer.


Ketika membahas Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat kelmarin, Matbali berkata peruntukan RM6.5 bilion untuk Sabah itu menunjukkan 3.1 peratus lebih banyak berbanding jumlah yang diperuntukkan pada Belanjawan asal 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini.


“Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, tinggi lagi ungkapan terima kasih Sipitang zahirkan kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan, yang nyata komited membangunkan wilayah kami,” katanya.


Beliau menyifatkan peruntukan yang disedia itu sebagai `buah tangan dan khabar gembira’ untuk Sabah dan Sarawak.


Sehubungan itu, Matbali menegaskan Sipitang  teguh mendukung belanjawan itu dan kepimpinan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.


“Sipitang mendapat tempias dan kesan secara langsung terhadap hal-hal yang disebutkan dalam Belanjawan 2023 ini,” katanya.


Beliaiu optimis dengan kestabilan politik dan kepimpinan pada hari ini, akan ada  cahaya bersinar terang untuk Sabah dan Sarawak.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment