KINABATANGAN: Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) DUN Lamag Kaharuddin Kahar berkata mereka kini menfokuskan literasi dalam kalangan belia sebagai nafas baharu kepada parti berkenaan.
Katanya STAR selaku parti komponen dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga optimis dalam memastikan keabsahan di dalam kerajaan.
Beliau berkata sehingga Februari tahun ini, STAR Lamag merekodkan keahlian seramai 2,035 orang dan menunjukkan peningkatan setiap bulan hasil penyerahan borang sama ada dari ahli parti lain dan parti baharu.
“Hari ini sahaja kita sudah menyerahkan sebanyak 1,370 borang keahlian yang sudah disemak di peringkat bahagian sebelum dihantar ke pejabat rasmi STAR Sabah di Sokid Villa Kota Kinabalu.

“Saya melihat perkembangan terbaharu ini sebagai sesuatu yang positif bagi STAR dan kerajaan GRS umumnya kerana rakyat mula sedar bahawa GRS adalah pilihan terbaik untuk menerajui Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya STAR Lamag masih dalam perbincangan dengan parti-parti komponen GRS yang lain terutama dalam hal kuasa pentadbiran dan perancangan pengukuhan GRS itu sendiri di Lamag.
“Mereka sangat kecewa dengan kepimpinan parti lama dan akhirnya memilih untuk menyokong kerajaan GRS demi kestabilan politik di Sabah.
“Selain itu, kita juga banyak menerima ahli atau pengundi yang baru berjinak dengan politik khususnya mereka berumur 18 tahun,” katanya.
Kaharuddin turut mengalu-alukan pengundi muda untuk memberikan nafas baharu kepada STAR dan GRS secara khususnya supaya dapat membantu pembangunan negara.
— EDITOR
Add Comment