Home » Bekas MB Kedah Syed Razak meninggal dunia
Berita Am Berita Dalam Negara

Bekas MB Kedah Syed Razak meninggal dunia

ALOR SETAR: Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, 79, meninggal dunia pada Rabu.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi di sebuah hospital swasta di Sungai Petani.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan perkara itu dan turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian insan yang banyak berjasa kepada negeri Kedah.

“Saya mengesahkan memang Datuk Seri meninggal dunia pagi ini. Bagi saya, ini satu bukan saja kehilangan buat keluarganya malah untuk seluruh rakyat Kedah.

“Saya amat merasai kehilangannya ketika beliau akan sentiasa dikenang sebagai individu berdedikasi tinggi.

“Kita semua menghargai sumbangan beliau semasa menjadi Menteri Besar satu ketika dulu,” katanya.

Turut menzahirkan ucapan takziah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Saya mengenali beliau ketika belum menyertai dunia politik lagi. Bagi saya ia kehilangan besar kepada negeri dan UMNO khususnya kerana sumbangan Allahyarham terlalu banyak.

“Dalam keadaan uzur dan tidak berapa sihat pun, beliau tetap turun berkempen untuk UMNO di Kuala Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Beliau seorang yang baik dan akan terus dikenang sebagai pemimpin yang memiliki visi dan misi dalam memajukan Kedah,” katanya.

Bekas Setiausaha Akhbarnya Datuk Boon Som Inong yang juga bekas Senator dalam pada itu berkata dia tidak akan lupa akan kata-kata Allahyarham dan ia akan sentiasa dikenang.

“Saya akan sentiasa kenang kata-katanya yang sentiasa mahu mendampingi rakyat. Antaranya beliau pernah berkata ‘Di mana ada rakyat, di situlah pejabat kita’.

“Selain itu, beliau juga pernah berpesan, antara syarat menjadi orang politik adalah sebahagian daripada gaji kita ini termasuk habuan orang memaki dan mengata,” katanya.

-astroawani

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment