Home » Kaji semula dasar percukaian Labuan – Masiung
Berita Tempatan Politik

Kaji semula dasar percukaian Labuan – Masiung

Menurut Masiung, kini hanya makanan ringan seperti coklat, gula-gula dan keropok sahaja yang dikecualikan cukai, namun harganya hampir sama di Sabah. 

Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula dasar percukaian yang menyumbang kepada kelembapan ekonomi Labuan, sehingga menyebabkan status bebas cukai di pulau itu semakin terhakis. 


Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, Labuan akan terus ketinggalan dari arus perdana ekonomi jika kerajaan tidak mengembalikan sepenuhnya status bebas cukai di pulau itu. 


Katanya, meskipun Labuan dikenali sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa yang terpenting di rantau ini, tapi pulau itu kini kehilangan seri umpama ‘bandar tua’ yang ditinggalkan. 


“Labuan suatu ketika dahulu merupakan destinasi percutian terkenal dengan pusat beli-belah bebas cukai yang murah, namun kini bertukar sebagai bandar lembap, “ kata Masiung yang juga Adun Kuamut. 


Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) itu diminta mengulas isu percukaian di Labuan setibanya di Kota Kinabalu selepas mengetuai rombongan pemimpin daerah Tongod ke Kuala Lumpur, Ahad lepas. 


“Labuan tiada lagi tarikan pengunjung kerana harga barang lebih tinggi berbanding negeri lain di negara ini. 


“Status Labuan sebagai pulau bebas cukai sudah semakin terhakis berikutan langkah kerajaan menyenaraikan produk tembakau, rokok dan minuman beralkohol sebagai barangan dikenakan cukai sejak 1 Januari 2021,” katanya. 


Menurut Masiung, kini hanya makanan ringan seperti coklat, gula-gula dan keropok sahaja yang dikecualikan cukai, namun harganya hampir sama di Sabah. 


“Labuan tersepit dengan masalah ekonomi yang lembap. Punca utama harga bahan mentah tinggi adalah kos pengangkutan. 


“Ini kerana hampir semua barangan pengguna diangkut dari tanah besar Sabah menggunakan jalan darat, kemudian merentasi lautan menaiki feri dari Menumbok,” jelasnya. 


Masiung berkata, kebanyakan kargo dari Semenanjung Malaysia dan luar negara di hantar terus ke tanah besar Sabah, menyebabkan pelaburan di Labuan terus merosot. 


Mengulas lanjut isu tersebut, beliau berkata, penduduk Labuan sudah bersuara melalui dewan-dewan perniagaan dan forum kebangsaan namun belum ada respon positif dari Putrajaya. 


“Suatu ketika lalu Ahli Parlimen Labuan juga pernah membawa usul ke Dewan Rakyat sebagai isyarat kepada Putrajaya memulangkan kembali Labuan di bawah pentadbiran kerajaan wilayah Sabah.


“Dasar baharu percukaian sekarang merupakan satu diskriminasi ekonomi kepada penduduk Labuan yang dikongsi bersama dengan pengunjung luar,” katanya.

— EDITOR