Site icon Sabah Baru News

Kereta terbang berpemandu mulakan penerbangan luar pertama di Jepun

OSAKA: Ujian penerbangan kereta terbang berpemandu pertama Jepun berjaya dijalankan di barat Osaka pada Selasa.

Kereta terbang satu tempat duduk buatan Lift Aircraft Inc. dari Amerika Syarikat itu terbang selama kira-kira 10 minit. Semasa penerbangan, ia berlegar kira-kira 8 meter di atas tanah dan kemudian dipandu berpusing-pusing, menurut Jiji Press.

Syarikat perdagangan Jepun Marubeni Corp. menjalankan ujian penerbangan itu di padang besbol di Osaka Castle Park dengan kerjasama kerajaan bandar dan wilayah Osaka. Kereta terbang dijangka digunakan secara komersial pada Ekspo Osaka 2025, katanya.

Selepas pendaratan, Masatoshi Kumagai, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif firma teknologi maklumat utama Jepun GMO Internet Group Inc. memberitahu pemberita bahawa kereta terbang “akan menjadikan impian manusia sebagai kenyataan.”

“Saya berharap (kereta terbang) akan digunakan secara praktikal di Ekspo dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Marubeni dipilih sebagai operator kereta terbang bersama syarikat lain termasuk syarikat penerbangan ANA Holdings Inc. dan Japan Airlines.

Penerbangan ujian luar itu akan menyediakan data mengenai tahap bunyi dan kesan angin pada laluan penerbangan yang menghubungkan tapak acara dan parkir kereta terbang di luar bandar raya, selain menimbang langkah-langkah keselamatan, katanya.

— BERNAMA

Exit mobile version