DUBAI: Semua pelaburan utama asing dan domestik perlu ditapis sepenuhnya terlebih dahulu sebelum diumumkan secara rasmi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, setelah semua kriteria dipenuhi barulah pengumuman rasmi akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
“Semua cadangan perlu diteliti dan barulah kerajaan negeri akan membuat pengumuman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hajiji tiba di Dubai untuk menghadiri Ekspo dan Persidangan Keselamatan Maklumat Teluk (GISEC) di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Merujuk kepada pertemuannya dengan sekumpulan pelabur baru-baru ini, beliau menjelaskan, tiada keputusan dibuat oleh kerajaan negeri berhubung sebarang perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dalam tempoh dua minggu ini, beberapa pengumuman melibatkan pelaburan projek besar yang disiarkan dalam berita menggunakan nama kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan sewenang-wenangnya membuat sebarang pengumuman terutama membabitkan pelaburan projek mega.
Beliau turut mengingatkan supaya lebih berhati-hati membuat pengumuman kerana setiap pelaburan sekurang-kurangnya perlu ada saringan dan penilaian asas oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, terutama untuk pelabur dari luar Sabah dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan apabila pelabur datang ke Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan projek mega tetapi pada masa sama, pelaburan yang datang perlu realistik dan boleh dilaksanakan untuk mengelak kerajaan dituduh hanya membuat pengumuman tetapi gagal dalam pelaksanaan.
HHI
Masidi ditemui media selepas mewakili Hajiji merasmikan majlis pembukaan rasmi CelcomDigi Business Tech Week di Kota Kinabalu hari ini.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment