Projek Pembangunan Mahkamah Syariah Daerah Papar, Sabah merupakan projek di bawah Jabatan Perdana Menteri yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) RP3 2018. Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia serta JKR Sabah dan projek dijangka siap sepenuhnya pada 25 Ogos 2024.
Sungguhpun telah diluluskan pada tahun 2018, namun terdapat sedikit kelewatan sebelum ini yang antara lain berpunca daripada isu kesesuaian lokasi. Tapak yang dikenal pasti adalah kawasan berpaya/berair yang melibatkan implikasi kewangan tambahan. Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meluluskan tambahan kos siling projek sebanyak RM3.5 juta dan nilai terkini keseluruhan projek adalah RM18.5 juta.
Proses perolehan projek telah selesai dilaksanakan dan kebenaran masuk tapak bagi melaksanakan kerja tanah telah diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Tinjauan pada hari ini adalah untuk melihat status kemajuan kerja-kerja awal sekali gus mendapatkan maklum balas sekiranya masih terdapat isu-isu berbangkit.
Saya meminta semua pihak terlibat untuk memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar untuk memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan setelah pelaksanaan awal tertangguh atas isu-isu tertentu khususnya yang melibatkan tapak projek dan keperluan kenaikan kos projek.
Pembangunan mahkamah syariah yang baharu di Papar merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan demi manfaat penduduk tempatan dan para penjawat awat yang terlibat. Bangunan baharu ini kelak akan membolehkan rakyat memiliki prasarana dan persekitaran perkhidmatan kerajaan yang lebih kondusif sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas)
18 Mac 2023
Add Comment