Home » PELANCARAN PROGRAM KAMPUNG SIAGA 221: KOMUNITI KAMPUNG SEBAGAI KOMPONEN TINDAK BALAS AWAL (FIRST RESPONDER)
Berita Tempatan

PELANCARAN PROGRAM KAMPUNG SIAGA 221: KOMUNITI KAMPUNG SEBAGAI KOMPONEN TINDAK BALAS AWAL (FIRST RESPONDER)

Hari ini saya telah melancarkan Program Kampung Siaga 221 Peringkat Negeri Sabah bertempat di Sekolah Kebangsaan Kaiduan, Papar melibatkan kehadiran penduduk dari Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikan. Kampung Siaga 221 adalah merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Inisiatif ini adalah usaha untukmemperkukuhkan fungsi dan peranan APM sebagaimana yang terkandung di dalam Akta Angkatan Pertahanan Awam 1951 (Akta 221).

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan komuniti setempat dalam menghadapi sebarang ancaman kecemasan, bencana dan musuh. Program ini sedang digerakkan secara rintis secara berperingkat dengan memberikan fokus kepada kawasan-kawasan terdedah risiko bencana dan kecemasan (hotspot) yang dikenal pasti.

Sebanyak tujuh kriteria utama bagi membolehkan sesuatu lokasi itu dipilih iaitu; kawasan pedalaman/luar bandar, kawasan terdedah bencana, terputus hubungan ketika bencana, capaian komunikasi yang terhad, memiliki struktur komuniti (sumber manusia), ketersediaan komuniti dan logistik yang terhad. Atas faktor tersebut, kawasan Kaiduan telah dipilih sebagai Kampung Siaga 221 bagi peringkat negeri Sabah.

Pada tahun ini, pihak APM telah menyasarkan penubuhan sebanyak 14 buah
Kampung Siaga 221 iaitu satu kampung bagi setiap negeri. Sehingga 16 Mac 2023,
sebanyak lima negeri telah melancarkan program ini iaitu Terengganu, Sarawak,
Perak, Kelantan dan Pahang.

Program ini juga adalah selari dengan Teras 1 Dekad Platinum Pertahanan Awam (DPPA 2022-2032) iaitu; meningkatkan daya tahan dan kesiapsiagaan awam (komuniti) terhadap insiden kecemasan, khidmat kemanusiaan, krisis, bencana dan peperangan demi menjamin kesejahteraan negara (nyawa dan harta benda).

Pelbagai pengisian telah dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung seperti latihan asas pertolongan cemas, CPR, choking, ikatan dan balutan, sesi teori dan praktikal keselamatan pendawaian oleh GIATMARA, pameran aset dan logistik Pertahanan Awam.

Keseluruhan aktiviti yang diadakan ini adalah bertujuan untukmemberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan ilmu pertahanan awam agar mereka dapat bertindak dan bergerak pantas apabila berlakunya sesuatu kejadian bencana dan kecemasan. Kesedaran dan tindak balas awal adalah penting bagi menjamin keselamatan diri, keluarga dan orang terdekat sentiasa terpelihara.

Dengan ilmu dan latihan pertahanan awam, kita yakin komuniti setempat boleh memainkan perana berkesan sebagai komponen tindak balas awal (first responder). Pada program yang sama, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah berbesar hati memberi sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM100 kepada 102 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Kaiduan yang terdiri daripada murid pra sekolah, tahun satu hingga tahun enam.

Sumbangan yang disalurkan adalah bertujuan untuk meringankan beban keluarga pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan 2023-2024 pada 20 Mac ini dan juga sebagai motivasi kepada murid untuk belajar lebih cemerlang.

Bagi menyantuni penduduk yang kurang berkemampuan, Yayasan Felda dan Bahagian Kawal Selia FELDA turut bermurah hati memberi sumbangan berupa bakul makanan kepada golongan yang memerlukan daripada kalangan penduduk 3 buah kampung iaitu Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikan. Kerajaan juga amat prihatin terhadap kesejahteraan hidup penduduk di Kaiduan terutama melibatkan laluan utama untuk menyeberangi sungai.

Melihat kepada keadaan jambatan gantung yang sudah uzur dan memerlukan pembaikan segera, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM55 ribu bagi pembaikan jambatan gantung yang mengalami kerosakan. Pembaikan jambatan ini dapat memudahkan pergerakan penduduk dalam menjalani aktiviti harian.

DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas)
18 Mac 2023