KINABATANGAN: Seramai 3,792 ahli daripada 75 cawangan mewakili pelbagai parti politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di sini mengumumkan keluar parti.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag Johainizamshah Johari berkata, kesemua ahli berkenaan memutuskan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, keputusan menyertai Gagasan Rakyat dibuat secara rela hati dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
“Keseluruhan ahli-ahli ini menyatakan keyakinan mereka terhadap kepimpinan yang ada sekarang kerana pencapaian kepimpinan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pada Majlis Pengisytiharan Menyertai Gagasan Rakyat secara beramai-ramai di Dewan Sri Lamag di sini.
Johainizamshah berkata, keputusan itu dibuat dengan harapan agar kestabilan politik dapat dibentuk dan agenda mengembalikan hak rakyat Sabah terlaksana dengan jayanya.
Sehubungan itu, beliau percaya dengan kebijaksanaan Ketua Menteri dalam memastikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai keutamaan, sudah pasti ia akan memberi banyak manfaat sekali gus menjadikan negeri ini terus maju setanding negeri-negeri lain.
“Kami yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Hajiji berdasarkan pencapaian selama dua tahun mentadbir Sabah.
“Kita bukan mahu setakat berpolitik secara retorik tetapi kita mahu terutamanya agenda dalam menuntut hak mengembalikan hak orang Sabah dapat terlaksana,” katanya.
— EDITOR
Add Comment