Site icon Sabah Baru News

MPS digesa tangani masalah sampah Kg Sim-Sim – Joachim

SANDAKAN: Masalah pembuangan sampah yang berlaku di kawasan Kampung Sim-Sim di sini perlu ditangani sewajarnya oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, masalah sampah yang dihadapi penduduk perkampungan air di kawasan terbabit berlaku sejak sekian lama.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, sampah yang dibawa oleh arus pergerakan laut mengakibatkan ia menjadi longgokan sampah di kampung berkenaan.


Terdahulu, beliau bersama Presiden MPS Henry Idol dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Dr. Jamili Nais membincangkan usaha yang boleh diambil bagi menangani masalah berkenaan selepas mengadakan lawatan ke Kampung Sim-Sim pada Isnin (20 Mac) .

Dalam pada itu Joachim berkata, Kampung Sim-Sim memiliki potensi untuk menarik pelancong datang dan menikmati makanan laut yang segar.


“Jika masalah ini tidak dibendung, ia akan memberikan imej tidak menyenangkan kepada pengunjung yang datang ke restoran di sini,” katanya.


Sementara itu Henry berkata, MPS akan berusaha gigih menangani masalah berkenaan dan salah satunya ialah dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan. 


Beliau juga memohon kerjasama penduduk setempat agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat. 


Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat Frankie Poon Ming Fung.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version