Home » ‘Kemuka aduan di tribunal jika timbul isu dengan pemaju’ – Nga Kor Ming
Berita Am Berita Dalam Negara

‘Kemuka aduan di tribunal jika timbul isu dengan pemaju’ – Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kualiti pembinaan rumah mereka disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju melalui Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, proses itu tidak mengambil masa yang panjang, malah pembeli juga tidak perlu melantik peguam.

“Mana-mana pihak yang tidak puas hati sentiasa boleh kemukakan tuntutan di tribunal yang sangat mudah… hanya satu salinan kertas dan tidak perlu lantik peguam. Tribunal akan bersidang setiap minggu.

“Kerajaan sentiasa memantau. Sebenarnya pada Januari kita telah lantik 39 orang presiden tribunal tuntutan perumahan dan pengurusan strata… kesemua kekosongan telah pun kita isikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan ‘Panel Of Experts’ (POE) di ibu negara pada Rabu.

Mengulas lanjut, Kor Ming turut memaklumkan, tribunal itu juga telah menyelesaikan hampir 40,000 kes dengan tunggakan kes yang hampir sifar.

Baru-baru ini, timbul beberapa keluhan pembeli rumah yang tidak berpuas hati dengan sikap pemaju yang dianggap ‘lepas tangan’ terhadap isu kerosakan kediaman di sesebuah projek perumahan.

Ini termasuk tindakan segelintir pemaju yang dikatakan sengaja melengahkan proses memperbaiki kecacatan projek bagi melepasi tempoh jaminan kerosakan (DLP) selama 24 bulan.

Astro AWANI juga menerusi siri laporan khas ‘Pemaju kayangan, rumah cap ayam’ telah membawakan keluhan penduduk di projek perumahan Pangsapuri Harmoni 1, Putra Heights yang tidak berpuas hati dengan kualiti dan kerosakan pada projek berkenaan.

Ini termasuk kos penyelenggaraan bulanan yang didakwa agak tinggi selain penduduk mendakwa fasiliti tidak setimpal dengan kos yang dikenakan terhadap mereka.