Home » 150 anak pokok Bakau, Api-Api berjaya ditanam
Berita Tempatan Politik

150 anak pokok Bakau, Api-Api berjaya ditanam

KENANGAN: Nizam bersama penuntut Polititeknik Sandakan yang terlibat dalam program tersebut.

TAWAU: Sebanyak 150 anak pokok Bakau dan Api-Api berjaya ditaman menerusi program ‘Mangrove Tree Planting’ yang dianjurkan Politeknik Sandakan di Kampung Sungai Apas, di sini semalam.


Program itu mendapat kerjasama daripada Sankina Aquaculture Sdn Bhd, Jabatan Perhutanan Wilayah Tawau dan The World Wide Fund for Nature (WWF).


Timbalan Pengarah Politeknik Sandakan Irwandih Mat Jaili berkata, program ini melibatkan seramai 36 orang penuntut terdiri daripada ahli Kelab Biodiversiti Marin dan Kelab Mesra Alam.


Katanya, objektif penganjuran kali ini bagi memupuk kesedaran pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem paya bakau terutamanya bagi industri akuakultur.


“Penganjuran ini kali kedua dilaksanakan selepas ia berjaya diadakan bersama sebuah syarikat lain pada tahun lalu.


“Konsep dan keperluan sedikit berbeza, namun mempunyai objektif yang sama iaitu mewujudkan hubungan dua hala antara institusi-industri dan membuka peluang kepakaran kepada penuntut,” katanya.


Menurutnya, sokongan daripada Jabatan Hutan Wilayah Tawau dan WWF juga telah melengkapkan keperluan dalam menjayakan program kali ini.


“Dengan adanya program ini, ia dapat menyokong kerajaan bagi mencapai matlamat Penghijauan Malaysia dibawah kempen penanaman 100 juta pokok 2021-2025.


“Kempen ini juga dilakukan bersempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 yang disambut pada setiap 21 Mac setiap tahun,” katanya.


Beliau berkata, Jabatan Hutan Wilayah Tawau dan WWF turut menyumbang 100 anak pokok Bakau dan 50 anak pokok Api-Api bagi menjayakan program ini.


Jelasnya, kerjasama itu dapat membantu Politeknik Sandakan dalam menyediakan dan melahirkan modal insan ataupun tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.


“Kita adalah politeknik tunggal di borneo yang menawarkan pengajian dalam bidang Agroteknologi dan Akuakultur sejak tahun 2012 dalam usaha mengimbangi keperluan produk makanan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri dapat memberi manfaat terhadap kedua-dua pihak.
Katanya, sokongan daripada Jabatan Hutan Wilayah Tawau dan WWF dapat membantu dari segi kepakaran serta penyediaan anak pokok.


“Saya juga yakin pihak Sankina Aquaculture sangat bertuah kerana dipilih untuk bekerjasama bagi menjayakan program seperti ini,” katanya.


Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan negeri terus berusaha membangunkan industri-industri penjana ekonomi termasuklah sektor pertanian.


Katanya, ia diterjemahkan melalui Tema dan Fokus Belanjawan 2023 yang dibentang oleh Ketua Menteri Sabah iaitu Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera.


“Industri perikanan dan akuakultur turut mendapat perhatian kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Perikanan serta jabatan di bawahnya.


“Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM69.2 juta untuk tujuan operasi dan pembiayaan pelbagai program bantuan kepada petani, nelayan dan penternak,” katanya ketika merasmikan program tersebut.


Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri turut berusaha dalam pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), latihan, pendidikan dan keagamaan.


“Sebanyak RM57 juta telah diperuntukan bagi tujuan tersebut dan ia membuktikan kerajaan negeri melihat keperluan penduduk secara menyeluruh,” katanya.


Nizam berkata, semua rakyat di negara ini perlu menyambut baik sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA).


“Marilah kita bersama-sama berusaha menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan perhutanan untuk kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar,” katanya.

TERIMA KASIH: Chor menyampaikan anak pokok kepada Azhar.

Penuntut Agroteknologi Politeknik Sandakan, Naufal Zahari menzahirkan rasa teruja kerana terlibat dalam program yang sangat bermanfaat ini.


“Pengalaman dan ilmu yang diperolehi ini sangat bermanfaat kerana ia tidak dapat diperolehi ketika pembelajaran di dalam kampus.


“Saya juga berharap dapat bekerja dalam bidang Agroteknologi yang boleh melestarikan alam sekitar,” katanya.


Bagi Ruthmary Joseph yang merupakan penuntut Aquaculture pula berkata, program sebegini sangat bermanfaat kepada semua peserta.


“Saya cukup bangga kerana dapat membantu memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin pupus di negara ini.


“Program sebegini sangat bermanfaat kepada kami generasi muda bagi memastikan alam sekitar dan kehijauan di negara kita dapat dikekalkan,” katanya.


Turut hadir, Penolong Pegawai Perhutanan Daerah Tawau, Kee Nooridayu Mohd Ayub; Pengarah Sankina Aquaculture Sdn Bhd, Ou Sing Jen; Pegawai WWF, Chor Wei Kang dan Pengarah Program, Azhar Ambo.

— Hamzah Sanudin