Home » Pastikan bantuan sampai kepada penerima – Masidi
Berita Tempatan Politik

Pastikan bantuan sampai kepada penerima – Masidi

Masidi berkata, pengagihan BOS iaitu peruntukan RM100,000 bagi setiap 73 wakil rakyat serta penyerahan laporan perlu dilakukan secara konsisten, bukan disimpan dan dibelanjakan hanya pada penghujung tahun.
Turut hadir pada program itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib dan Pembantunya, Datuk Flovia Ng.

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) diingatkan supaya mengamalkan disiplin kewangan apabila membelanjakan peruntukan bantuan seperti Bantuan Orang Susah (BOS).


Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata selain tanggungjawab memastikan peruntukan bantuan sampai kepada masyarakat sasaran, wakil rakyat dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) juga perlu melengkapkan dan mengemukakan laporan perbelanjaan mereka mengikut keperluan bagi membantu Kerajaan Negeri memantau keberkesanan dan capaiannya.


“Laporan itu juga penting untuk Jabatan berkaitan menjejaki keberkesanan dan capaian bantuan serta Kementerian Kewangan mengekalkan penarafan kewangan lima bintang Sabah, yang merupakan antara yang terbaik di negara ini,” katanya semasa penutupan taklimat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah bersama UPPM, di sini, Rabu.


“Laporan itu tidak direka untuk menyusahkan YB atau PPM, tetapi ia adalah salah satu langkah kerajaan untuk memastikan peruntukan sampai kepada sasaran atau penerima yang dimaksudkan.”


Beliau berkata, pengagihan BOS iaitu peruntukan RM100,000 bagi setiap 73 wakil rakyat serta penyerahan laporan perlu dilakukan secara konsisten, bukan disimpan dan dibelanjakan hanya pada penghujung tahun.


“Saya berharap semua PPM akan memainkan peranan mereka dalam mengagihkan BOS secara adil kepada orang ramai yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.


Sementara itu, Masidi turut mengingatkan PPM supaya memastikan peralatan yang dipinjamkan kepada orang ramai melalui program Homeward di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dijaga bagi memaksimumkan bilangan orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya dalam jangka masa panjang.


“Adalah menjadi harapan kami apabila pelanggan atau pesakit pulih, peralatan itu kemudiannya boleh dipinjamkan kepada orang lain yang layak dan benar-benar memerlukan.”


Program kitaran pinjaman Homeward menyediakan pesakit dengan peralatan penjagaan kesihatan yang penting seperti katil hi-lo, tilam, kerusi roda, penumpu oksigen, pemisah ruang, kerusi tandas dan peralatan lain yang diperlukan oleh pesakit yang dirawat di rumah.


Turut hadir pada program itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib dan Pembantunya, Datuk Flovia Ng.

— EDITOR