Home » Tiada lagi penjara seumur hidup ganti hukuman mati mandatori – Azalina
Berita Am Berita Dalam Negara

Tiada lagi penjara seumur hidup ganti hukuman mati mandatori – Azalina

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori akan digantikan dengan hukuman alternatif baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia akan digantikan dengan penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Jelas beliau, perkara tersebut antara beberapa dasar baharu yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas.

“Selain itu, hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang.

“Hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, melainkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Azalina menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai status terkini kajian semula cadangan melaksanakan hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan.

Menjawab lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata Jemaah Menteri turut bersetuju dengan satu RUU baharu bagi membolehkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dikenakan disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Cadangan RUU berkenaan, katanya dijangka memberi kesan kepada 957 banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang telah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Azalina memberitahu RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dijadual dibaca kali pertama pada Isnin ini di Dewan Rakyat.

Katanya, RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijangka memberi kesan kepada 476 banduan hukuman mati yang belum menghabiskan proses rayuan, sama ada di Mahkamah Rayuan ataupun Mahkamah Persekutuan.

“Hal ini disebabkan, hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori akan bersifat ke belakang.

“Pindaan perundangan yang melibatkan polisi penghukuman dan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini jelas merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia supaya lebih holistik dan inklusif demi manfaat bersama selain tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.

-astroawani

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment