Home » Murid maut digilis treler: Polis sahkan terima laporan pemandu dipukul orang awam
Berita Am Berita Dalam Negara

Murid maut digilis treler: Polis sahkan terima laporan pemandu dipukul orang awam

KLANG: Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang pemandu treler yang dipukul oleh orang awam semasa kejadian kemalangan maut babit kenderaan itu dengan sebuah motosikal di Kampung Telok Gong, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemandu berusia 36 tahun itu cedera di pipi kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebagai pesakit luar.

“Pemandu telah buat laporan di Balai Polis Pandamaran, di sini petang semalam (Rabu) berhubung kes dia dipukul oleh individu yang belum dikenal pasti.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku terbabit,” katanya pada Khamis.

Hoong Fong berkata, punca kejadian dipercayai motosikal ditunggangi wanita berusia 54 tahun dan dua kanak-kanak itu hilang kawalan ketika melalui permukaan berpasir.

“Semasa kejadian, treler dari arah Klang menghala ke Telok Gong, apabila sampai di persimpangan Jalan Bawal, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua pelajar sekolah iaitu pelajar perempuan (sembilan tahun) dan pelajar lelaki (tujuh tahun) keluar dari simpang menghala ke arah sama dengan treler berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa merupakan seorang pelajar perempuan digilis oleh roda tayar belakang treler, meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Yunus Abd Rahim di talian 011-25300305 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 0333722222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment