Home » PBT, Ahli Majlis diminta teroka bidang baharu majukan daerah masing-masing
Berita Tempatan Politik

PBT, Ahli Majlis diminta teroka bidang baharu majukan daerah masing-masing

KENANGAN: Joachim (duduk tengah) bersama Ahli-ahli Majlis selepas menyelesaikan majlis angkat sumpah dan penyerahan watikah.

TAWAU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Majlis diminta supaya meneroka bidang baharu yang boleh membawa pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di kawasan tanggungjawab mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, mereka perlu bersedia menghadapi cabaran dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.


Katanya, PBT dan Ahli Majlis perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.


“Barisan Ahli Majlis terutama yang baharu perlu mengetahui matlamat PBT dan dasar kerajaan negeri dalam melaksanakan kewajipan serta tugas masing-masing.


“Mereka diminta melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi amanah yang disandang serta peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan,” katanya.


Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis MPT, di sini hari ini.


Menurutnya, Ahli Majlis yang baharu dilantik di daerah ini diharap dapat membantu Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mencapai misi dan visi yang sudah dirancang.


“Saya mahukan barisan kepimpinan baharu ini berani melakukan transformasi ke arah kebaikan dan kemajuan PBT serta dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti.


“Selain itu, semua Ahli Majlis diminta supaya selalu turun padang melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing.


Justeru, besar harapan saya supaya Ahli Majlis yang dilantik dapat menjadi perantara serta pemudah cara antara MPT dan masyarakat selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya,” katanya.

WATIKAH: Joachim (tiga kiri) ketika menyampaikan watikah pelantikkan Ahli Majlis kepada Datuk Haji Naim Ahmat.

Joachim berkata, pelantikan Ahli Majlis di daerah ini juga dilihat mengabungkan muka lama dan baharu supaya mereka dapat bekerjasama menyumbang idea membantu pihak MPT.


“Semua Ahli Majlis yang dilantik mempunyai latar belakang dan kepakaran yang berbeza serta dilihat mampu membuat perancangan terbaik untuk memajukan bandar Tawau.


“Kita juga melantik golongan belia untuk menganggotai Ahli Majlis ini supaya mereka boleh menjadi penggerak aktiviti belia di sini,” katanya.


Dalam pada itu, Joachim optimis daerah Tawau akan menjadi bandar yang lebih maju selepas perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan akan datang.


Katanya, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memajukan daerah Tawau dan sekitarnya supaya ia seiring dengan perpindahan ibu kota Indonesia.


“Buat masa ini, kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan peruntukan untuk pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Kalabakan,” katanya.


Turut hadir, Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang; ADUN Kukusan merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Rina Jainal dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang.

— Hamzah Sanudin