TAWAU: Syarikat Swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) disaran supaya sentiasa berkolaboratif dengan agensi kerajaan khususnya dalam membantu masyarakat akar umbi.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama itu dapat memberi impak yang baik kepada rakyat yang memerlukan di negara ini.
Katanya, aktiviti agensi kerajaan akan lebih mudah dan berkesan sekiranya dilaksanakan bersama rakan strategik di sesuatu kawasan.
“Sebenarnya swasta dan NGO turut memainkan peranan dalam menyampaikan hala tuju kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.
“Justeru, kerajaan mahukan penglibatan lebih banyak syarikat swasta dan NGO melaksanakan program membantu masyarakat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam majlis perasmian Program Jelajah Ramadan RTM, di sini semalam. Turut hadir Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.
Program tersebut dijayakan bersama rakan strategik syarikat Armada Maritime Services Sdn Bhd dan Pertubuhan Pembangunan Islam Sabah (IDEAS).
Menurut Nizam, RTM adalah jabatan penyiaran kerajaan terpenting khususnya dalam menyampaikan berita yang sahih kepada rakyat di negara ini.
“RTM adalah sebuah stesen penyiaran yang sudah tidak asing bagi rakyat di Malaysia sejak dahulu lagi,” katanya.
Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Aminah Samsuddin Mohd dalam ucapannya berkata, program ini sudah memasuki tahun Ke-11 dilaksanakan di negara ini.
Katanya, program ini juga merupakan simbolik bagi meraikan ulang tahun Ke-77 RTM penubuhannya di Malaysia.
“Sebanyak 77 buah masjid serta surau di seluruh negara terpilih sebagai lokasi jelajah dan 11 daripadanya adalah di Sabah
“Objektif penganjuran ini adalah untuk menyemarakkan bulan Ramadan melalui pelaksanaan program-program keagamaan dan kebajikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Armada Maritime Services merangkap Pengerusi IDEAS Muhammad Shahnon Basir berkata, program bantuan kepada golongan memerlukan ini dilaksanakan setiap tahun.
Katanya, kali ini program tersebut dilaksanakan bersama RTM sebagai rakan strategik untuk membantu seramai 135 orang asnaf di sekitar kawasan Apas.
“Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan setiap tahun memandangkan program jelajah ini boleh dijadikan platform khususnya syarikat swasta dan NGO untuk bersama memberi bantuan kepada asnaf,” katanya.
— EDITOR
Add Comment