KALABAKAN: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran supaya sentiasa turun padang membantu golongan yang memerlukan terutamanya pada bulan Ramadan.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, GLC perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan susah di negeri ini.
Katanya, bulan Ramadan adalah kesempatan yang baik untuk GLC menjalankan program-program berbentuk CSR bagi membantu masyarakat memerlukan.
“Saya percaya banyak GLC di negeri ini yang mempunyai pendapatan yang lebih dan mampu menyumbang kepada masyarakat akar umbi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian dalam program Kembara Ramadan di Masjid Jamek, Kampung Sungai Tamang, Sebatik, semalam.
Suryady turut mengingatkan penduduk di Parlimen Kalabakan supaya sentiasa berhemah ketika berbelanja sepanjang bulan mulia ini.
“Saya harap penduduk di sini jangan membazir dan sentiasa berbelanja ikut keperluan serta kemampuan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Suryady berkata, kerajaan sentiasa peka dengan keadaan kemudahan infrastruktur di negeri ini yang memerlukan penaiktarafan dan pembaikan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di empat buah kampung di kawasan Sebatik.
Katanya, sumbangan tersebut dilaksanakan bersama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah yang turut serta dalam program tersebut.
“Setakat ini, seramai 150 ketua isi rumah (KIR) yang memerlukan di sini telah disantuni dan menerima sumbangan di bawah program tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Kembara Ramadan ini,” katanya.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sebatik, PPM Merotai, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal Sabah Berhad serta pemimpin setempat.
— Hamzah Sanudin
Add Comment