KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) David Ong menyokong saranan supaya rakyat Sabah dapat memilih parti tempatan dalam usaha melindungi kepentingan negeri ini.
Terdahulu, Presiden LDP Datuk Chin Su Phin dalam kenyataannya menyarankan supaya semua rakyat di negeri ini menyokong sepenuhnya kepada parti tempatan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
David berkata, sokongan itu sangat penting bagi memastikan Sabah kekal dalam landasan yang betul bagi menuju pembangunan dan kemajuan negeri.
Katanya, kerajaan negeri akan lebih kuat jika dipimpin oleh parti tempatan dan ia cara terbaik untuk mempertahankan hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Jika kita lihat, Sarawak dapat menjaga hak-hak rakyatnya kerana mereka menyokong parti tempatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak dahulu lagi.
“Justeru, kerajaan GPS adalah contoh terbaik untuk diikuti oleh Sabah dan diharapkan rakyat dapat menyokong parti tempatan yang ada sekarang iaitu GRS,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan banyak autonomi kepada Sabah sejak memegang tampuk pemerintahan negara.
“Sudah tiba masanya, rakyat Sabah mengambil tanggungjawab dalam mengurus pembangunan dengan menyokong parti tempatan yang betul-betul memahami keperluan kita.
“Hal ini bukan mahu meremehkan sumbangan parti luar atau menentang kerajaan Perpaduan, tetapi pemimpin tempatan juga berupaya menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Add Comment