KENINGAU: Masyarakat di sekitar Bingkor termasuk dari seluruh pelosok daerah datang memeriahkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, yang diadakan di Kampung Buang Sayang, Bingkor pada Raya kedua.
Suasana pada majlis itu sungguh meriah apabila kelihatan ramai pengunjung yang datang mengenakan pakaian raya masing-masing dengan aneka warna, menghidupkan lagi ‘mood’ ceria pada majlis yang dinanti-nantikan itu.
Setiap pengunjung yang datang disambut mesra oleh Robert dan keluarga yang tidak henti-henti datang malah ada yang mengambil peluang datang lebih awal daripada jemputan, menandakan raya tahun ini sambutan yang ditunggu sejak sekian lama tidak dapat dilakukan ekoran pandemik.
Seperti kelaziman, setiap rumah terbuka tentunya menyajikan aneka makanan yang enak serta lazat dan kali ini rumah terbuka Robert juga dihidangkan dengan pelbagai juadah yang menyelerakan.
Antara yang menjadi tumpuan ialah sebuah booth yang menghidangkan aiskrim kepada orang ramai serta booth sate, sayap dan kambing panggang yang disajikan kepada pengunjung sempena rumah terbuka Robert itu.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya ketika ditemui pemberita semasa majlis rumah terbuka memberitahu, beliau sangat teruja untuk bertemu dengan rakyat dengan lebih dekat tanpa sebarang protokol setelah sekian lama terhalang akibat pandemik.
Beliau bersyukur kehadiran orang ramai pada majlis itu yang luar daripada jangkaan kerana diadakan pada hari kedua yang kebiasaannya dimanfaatkan bersama keluarga, yang menandakan silaturahim rakyat dengan pemimpin begitu akrab.
Robert menambah, majlis yang diadakan itu bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi juga memupuk semangat perpaduan kerana ia turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai kaum, agama dan bangsa.
Ini menunjukan Sabah bukan sahaja sebuah negeri yang makmur tetapi juga harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan membuktikan kesatuan menjadi pegangan setiap rakyat di negeri ini, yang diamalkan sejak sekian lama.
Beliau berharap perpaduan dan keharmonian yang kukuh ini akan terus berkekalan sepanjang masa dan generasi muda akan mempertahankannya agar Sabah kekal harmoni seterusnya menjadi contoh terbaik dalam soal perpaduan berturut-turut.
Antara pemimpin yang turut hadir pada majlis rumah terbuka itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment